Rohana menyempurnakan upacara penamaan LMS Ketiga TLDM yang dinamakan BADIK di Pelabuhan Wucang, Qidong, Nantong City, China.

KUALA LUMPUR – Upacara penamaan Littoral Mission Ship (LMS) Ketiga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selesai dilaksanakan di Limbungan Wuchuan, Pelabuhan Wucang, Qidong, Nantong City, China pagi ini.

Upacara itu disempurnakan isteri kepada Penasihat Pertahanan di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Republik Rakyat China, Rohana Osman sesuai dengan tradisi TLDM iaitu setiap kapal perang yang baharu akan diberi nama oleh isteri orang kenamaan.

Menurut kenyataan Cawangan Komunikasi Markas Tentera Laut, LMS Ketiga dinamakan sebagai BADIK, iaitu sempena nama sebuah kapal ronda Kelas KRIS yang telah dilucut tauliah pada tahun 2005.

“Penggunaan nama itu adalah senjata tradisional Melayu yang turut melambangkan simbol semangat kepahlawanan, perjuangan, keberanian dan kekuatan dalam menentang dan menangkis serangan musuh.

“BADIK adalah kapal LMS Ketiga TLDM dan akan menyertai Skuadron LMS ke-11 yang berpangkalan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Kru LMS Ketiga BADIK iaitu tujuh pegawai dan 38 anggota LLP bersedia untuk pulang yang dijangka sampai di Malaysia pada penghujung September ini.

“Skuadron ini kini mempunyai dua kapal LMS iaitu KD KERIS dan KD SUNDANG yang telah beroperasi,” kata kenyataan itu kepada media, hari ini.

BADIK mula dibina pada 18 September 2019 dan dilancarkan ke permukaan air 28 Oktober tahun lalu oleh Pasukan Projek LMS TLDM di Wuhan.

Selepas menjalani ujian penerimaan di pelabuhan dan laut, kapal itu diserahkan secara rasmi kepada kerajaan Malaysia pada 14 September lalu di Qidong, China.

Seramai tujuh pegawai dan 38 anggota lain-lain pangkat (LLP) sebagai kru pertama telah menjalani latihan intensif selama lima bulan di China dan BADIK dirancang tiba di Malaysia pada penghujung September ini. – MalaysiaGazette