Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Malaysia menyuarakan kegusaran negara itu terhadap penubuhan kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarkat (AUKUS) dalam memperoleh kapal selam berkuasa nuklear.

Kegusaran itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada rakan sejawatannya dari Australia, Scott Morrison menerusi panggilan telefon semalam.

“Perdana Menteri Australia itu menghubungi Ismail Sabri dan memaklumkan serta memberikan penjelasan kepada Malaysia mengenai penubuhan pakatan strategik AUKUS.

“Antara tujuan penubuhan AUKUS adalah untuk membantu Australia memperolehi kapal selam berkuasa nuklear.

“Perdana Menteri kita mengambil maklum perkara tersebut dan menegaskan pendirian Malaysia terhadap penubuhan AUKUS ini,” kata kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri kepada media hari ini.

Menurut kenyataan itu, Ismail Sabri kemudiannya menyuarakan kegusaran terhadap kerjasama AUKUS itu yang bakal memangkin perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik.

Pada masa sama, ia akan memprovokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutama di Laut China Selatan.

Katanya, sebagai sebuah negara dalam ASEAN, Malaysia memegang prinsip untuk mengekalkan ASEAN sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).

Perdana Menteri turut menekankan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian serta pendekatan sedia ada Malaysia terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan Malaysia.

“Ini termasuk di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PPB) berkaitan Undang-Undang Laut 1982 (United Nations Convention on the Law of the Sea – UNCLOS) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (Southeast Asia Nuclear Weapons Free Zone – SEANWFZ),” kata kenyataan yang sama.

Selain itu, kedua-dua pemimpin berkenaan turut mencapai kata sepakat dalam memperbaharui komitmen bersama bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa, khususnya di rantau Indo-Pasifik.

Ismail Sabri menggesa semua pihak mengelak sebarang provokasi serta persaingan senjata di rantau ini, selain menekankan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian serta pendekatan sedia ada.

Malaysia dan Australia bersetuju memperkukuhkan kerjasama dan konsultasi dalam pelbagai aspek, termasuk dalam bidang pertahanan di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif (Comprehensive Strategic Partnership). – MalaysiaGazette