Pakatan Harapan PH flag Sarawak state election polls
Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan menggesa kerajaan membentangkan di Parlimen berhubung pendirian Malaysia terhadap pengumuman pakatan strategik ketenteraan baharu Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia (AUKUS).

Dalam kenyataan bersama jawatankuasa itu, mereka mahu Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan kepada umum mengenai pakatan itu.

Jawatankuasa itu berpendapat, pakatan kerjasama baharu AUKUS yang turut meliputi perolehan kapal selam berkuasa nuklear bernilai AUD 90 bilion sebagai perkembangan besar di rantau ini.

“Langkah Australia, AS dan UK ini besar kemungkinan akan meningkatkan suhu ketegangan di rantau Asia.

“Disebabkan kedudukan geografinya yang terletak di tengah persaingan geopolitik dunia yang semakin sengit, Malaysia perlu meneliti dan menyatakan pendiriannya dengan jelas,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan itu dikeluarkan bersama Ahli Parlimen Kota Raja (Amanah), Mohamad Sabu; Ahli Parlimen Sungai Petani (PKR), Datuk Johari Abdul; dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Semalam, AS dilaporkan mengumumkan pakatan baharu bersama Austraia dan Britain untuk memantapkan keupayaan dalam menghadapi persaingan yang semakin meningkat dari China.

Pakata baharu itu membolehkan Australia dilengkapi armada kapal selam berkuasa nuklear dan peluru berpandu.

Pada masa sama, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong turut berbincang dengan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison mengenai kerjasama tiga hala itu.

Menurut kenyataan itu lagi, gesaan mereka adalah selari dengan kepentingan negara yang perlu menjelaskan bahawa Malaysia bersedia bekerjasama dengan semua pihak.

Namun, katanya, sebelum itu, US dan China perlu meredakan ketegangan khususnya di Laut China Selatan dan rantau Asia secara amnya.

“Ketegangan yang memuncak tidak akan membawa manfaat kepada kepentingan mana-mana negara di rantau ini,” katanya. – MalaysiaGazette