Taqiuddin Cheman

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat ketika ini berlangsung agak panjang iaitu kira-kira empat minggu sehingga 12 Oktober ini, kata Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Muhamad Taqiuddin Cheman.

Dengan itu, katanya, ia memerlukan komitmen tinggi daripada Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk mengendalikan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas 2021 yang bermula 13 September lalu.

Namun, kata beliau, keengganan kerajaan untuk menyegerakan pelantikan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang dikosongkan oleh penyandang sebelum ini, Datuk Seri Azalina Othman Said adalah sesuatu yang tidak wajar.

Menurutnya, perkara itu juga tidak mematuhi peruntukan Peraturan (6) Peraturan Mesyuarat yang menyatakan secara jelas jika terdapat kekosongan bagi jawatan Timbalan Speaker harus membuat pemilihan bagi jawatan itu pada awal permulaan urusan mesyuarat dalam mesyuarat yang mula-mula sekali diadakan selepas daripada jawatan itu kosong.

“Jawapan kerajaan untuk meminda Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pelantikan dua Timbalan Speaker kepada tiga Timbalan Speaker tidak menghalang supaya Timbalan Speaker kedua dilantik terlebih dahulu.

“Minggu lalu pula, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun ternyata tidak dapat mengendalikan perjalanan mesyuarat dengan hanya dibantu seorang Timbalan Speaker apabila terpaksa menggunakan Peraturan 7(3) Peraturan Mesyuarat, meminta Azalina mempengerusikannya.

“Sedangkan, kekosongan Timbalan Speaker kedua boleh diisi bagi membantu Speaker melaksanakan tugas di Dewan Rakyat dengan lebih efisien dan teratur,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Minggu lalu, dia calon jawatan Timbalan Speaker sepatutnya dipilih, tetapi Azhar memaklumkan pemilihan ditangguhkan pada persidangan akan datang berikutan ada calon ketiga telah dicadangkan.

Dua calon itu ialah Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dari UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dari Pakatan Harapan (PH).

MalaysiaGazette difahamkan, calon ketiga ialah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Maka dengan itu, kata Muhamad Taqiuddin, Pemuda Amanah mendesak agar pelantikan Timbalan Speaker disegerakan dengan menggunakan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat sedia ada selaras dengan semangat persefahaman reformasi Parlimen yang dipersetujui antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Kami juga ingin melihat kesungguhan kerajaan dalam menterjemah hasrat reformasi Parlimen seperti dinyatakan dengan melantik Timbalan Speaker di kalangan pembangkang supaya kerjasama itu dapat dilakukan oleh kedua pihak.

“Janganlah heret permasalahan politik di kalangan parti di pihak kerajaan membantutkan usaha reformasi yang dipersetujui dan memadamkan kepercayaan rakyat kepada dewan yang mulia ini,” katanya. – MalaysiaGazette