Seorang pejalan kaki melintasi jambatan ketika hari pertama pelaksanaan sekatan pergerakan di Victoria. foto Reuters

SYDNEY – Victoria merekodkan kenaikan harian terbesar dalam kes Covid-19 tahun ini, sementara penularan di Sydney semakin susut walaupun terdapat jangkitan berterusan.

Sekatan pergerakan yang ketat di Victoria akan berakhir apabila 70 peratus populasi orang dewasa mendapat vaksinasi sepenuhnya dijangka pada 26 Oktober ini dan pihak berkuasa berhasrat untuk mencapai 80 peratus sebelum acara Melbourne Cup, perlumbaan kuda paling terkenal di Australia.

Sebanyak 567 jangkitan baharu dikesan di Victoria, majoriti di ibu negara Melbourne, meningkat dari 507 pada hari Ahad dan satu kematian baharu direkodkan.

Kes harian melebihi 500 sejak lima hari yang lalu.

Hampir separuh daripada 25 juta orang penduduk Australia berada dalam perintah terkurung selepas varian Delta menular dengan cepat di Sydney dan Melbourne, memaksa Victoria dan New South Wales melepaskan sasaran sifar Covid-19 dan menumpukan kepada vaksinasi untuk mengurangkan penularan.

Australia merekodkan 1,163 kematian dan sekitar 86,000 kes.

Kira-kira 55,000 kes telah didaftarkan sejak pertengahan Jun ketika jangkitan Delta pertama dikesan di Sydney.

Oleh kerana program vaksinasi semakin cepat, beberapa sekatan untuk berkumpul dilonggarkan pada hari Isnin di 12 pinggir bandar yang paling teruk dilanda Sydney.

Had masa untuk beriadah di luar juga telah tarik balik, manakala mereka yang sudah menerima vaksin sepenuhnya dibenar berkumpul di luar dalam kumpulan tidak melebihi lima orang. – Reuters