Dr. Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR –  Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merancang menubuhkan sebuah pusat pekerjaan nasional  sebagai sebahagian intervensi jangka panjang bagi menangani isu kebolehpasaran graduan selepas menamatkan pengajian.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, cadangan itu seperti mana yang terdapat di United Kingdom iaitu Jobcentre Plus.

“Selain intervensi itu, kita juga bercadang melaksanakan keputusan dasar lebih baik melalui analisa data yang dibekalkan oleh pangkalan data pasaran graduan dan pasaran tenaga kerja nasional,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif (BN) mengenai langkah dan cadangan untuk menambah baik intervensi terhadap kesan Covid-19 terhadap kebolehpasaran graduan.

Noraini turut menyenaraikan beberapa perkara bagi meningkatkan lagi tahap kebolehpasaran graduan bagi intervensi jangka pendek.

Jelas beliau, antaranya adalah meningkatkan inisiatif dan program semasa untuk membantu graduan mencari pekerjaan dan memperkenalkan skim elaun mencari kerja nasional dengan memberi tumpuan kepada bantuan terhadap graduan dari keluarga kategori B40.

“Kita juga akan meningkatkan promosi melanjutkan pelajaran, memperkasakan program latihan industri serta memperkukuhkan dasar kerjasama industri dan pendidikan serta meningkatkan gaji permulaan melalui pengenalan indeks upah nasonal supaya dapat meningkatkan produktiviti sistem upah,” katanya.

Sementara itu, Noraini memberitahu, kementerian dengan kerjasama Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) juga telah menyiapkan satu kajian bertajuk ‘Kesan Covid-19 terhadap kebolehpasaran graduan.’

“Objektif utama kajian itu adalah untuk mengkaji kesan terhadap kebolehpasaran graduan serta mencadangkan tindakan intervensi bagi menangani isu ini.

“Skop kajian termasuklah menjalankan ramalan terhadap kesan pasaran untuk graduan sedia ada dan bakal graduan akibat Covid-19 dengan mewujudkan senario pasca Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette