Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu yang berakhir pada 17 September, menyaksikan aliran masuk bersih berjumlah RM125.97 juta.

Ia adalah minggu keenam berturut-turut pembelian bersih oleh pelabur asing.

Ketika pasaran dibuka semula pada hari Isnin lalu, pelabur asing adalah pembeli bersih berjumlah RM58.39 juta manakala pelabur runcit melakukan belian bersih berjumlah RM63.50 juta.

Tetapi pelabur institusi tempatan adalah penjual bersih sebanyak RM121.89 juta.

MIDF Research berkata, pelabur asing adalah pembeli bersih setiap hari dalam seminggu kecuali pada hari Jumaat.

Aliran masuk asing terbesar dicatatkan pada hari Rabu dan aliran masuk terkecil pada hari Isnin masing-masing kepada RM76.96 juta dan RM58.39 juta.

Menurutnya, pelabur asing melakukan jualan bersih pada hari Jumaat berjumlah RM72.65 juta.

Bagi pelabur runcit, mereka adalah pembeli bersih setiap hari dengan belian terbesar  pada hari Jumaat dan pembelian bersih terkecil pada hari Rabu, masing-masing berjumlah RM81.57 juta dan RM6.97 juta.

Secara kumulatif, untuk minggu ini, pelabur runcit membeli ekuiti bernilai RM211.55 juta di Bursa Malaysia.

Sementara itu, institusi tempatan mencatat jualan bersih mingguan kumulatif sebanyak RM337.92 juta.

Firma penyelidikan itu menambah, institusi tempatan adalah penjual bersih setiap hari dalam seminggu dengan jualan bersih terbesar pada hari Selasa sehingga RM123.18 juta sementara yang terendah adalah pada hari Jumaat RM8.92 juta.

Sejak awal tahun 2021, secara kumulatif, pelabur runcit merupakan satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti bernilai RM10.04 bilion.

Pelabur institusi tempatan dan pelabur asing adalah penjual bersih masing-masing sebanyak RM6.38 bilion dan RM3.66 bilion.

Menurutnya, dari segi penyertaan, pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing mencatatkan pergerakan mingguan masing-masing sebanyak 4.67%, -6.08% dan 45.97% dalam nilai purata dagangan harian (ADTV). – MalaysiaGazette