Dolar Amerika Syarikat. foto Reuters

MELBOURNE – Harga minyak jatuh dalam dagangan hari ini, melanjutkan kerugian pada hari Jumaat selepas dolar Amerika Syarikat (AS) melonjak ke paras tiga minggu tinggi.

Selain itu, jumlah pelantar minyak AS juga meningkat, walaupun hampir satu per empat pengeluaran di Teluk Mexico masih belum beroperasi selepas dilanda taufan.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS jatuh AS$0.30 atau 0.4%, kepada AS$ 71.67 setong pada 0059 GMT, setelah turun sebanyak AS$0.64 sen pada hari Jumaat.

Manakala niaga hadapan minyak mentah Brent turun AS$0.27 atau 0.4%, kepada AS$ 75.07 setong selepas turun AS$0.33 sen pada hari Jumaat.

Harga minyak turun dengan dolar AS mendekati paras tertinggi tiga minggu berikutan kenaikan pada Jumaat pada data jualan runcit AS yang lebih baik daripada yang dijangkakan.

Ia sekali gus menyokong jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS akan mula mengurangkan pembelian aset akhir tahun ini.

“Minyak mentah WTI mungkin menjadi kukuh dalam beberapa sesi dagangan berikutnya sehingga trajektori dolar lebih jelas sedikit,” kata penganalisis OANDA Edward Moya dalam satu nota penyelidikan.

Nilai dolar AS yang lebih kuat menjadikan minyak lebih mahal bagi pemegang mata wang lain, sehingga mengurangkan permintaan.

Kenaikan jumlah pelantar AS juga mengekang harga minyak.

Jumlah pelantar minyak dan gas meningkat sebanyak sembilan kepada 512 dalam seminggu hingga 17 September, tertinggi sejak April 2020 dan meningkat dua kali ganda dari masa ini tahun lalu, kata Baker Hughes pada hari Jumaat.

Sehingga hari Jumaat, 23% daripada keluaran minyak Teluk Mexico atau 422, 078 tong sehari ditutup, lapor Biro Keselamatan dan Penguatkuasaan Alam Sekitar. – Reuters