Gambar hiasan

LANGKAWI – Selepas sekian lama berkurung di dalam rumah gara-gara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak Mei lalu, orang ramai kini sudah boleh menarik nafas lega.

Ini kerana pihak kerajaan telah memperkenalkan projek rintis gelembung pelancongan di Pulau Langkawi bermula 16 September lalu.

Justeru bagi yang ingin ke pulau legenda ini yang terkenal dengan sejarah Mahsuri, bolehlah memilih Aseania Resort & Spa Pulau Langkawi yang menawarkan aktiviti riadah dan percutian yang mendamaikan.

Pengunjung riang bermandi pada kolam yang merupakan kolam terpanjang di Malaysia dan antara tarikan yang dimiliki di Aseania Resort & Spa Pulau Langkawi, Kedah. Foto HAZROL ZAINAL, 17 SEPTEMBER 2021.

Terletak di Pantai Chenang dan 6.5 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa, Langkawi, resort ini bagaikan sebuah hotel mewah yang dikelilingi alam semula jadi seperti bukit menghijau dan air terjun buatan mempesonakan.

Menginap di sini, banyak momen indah menjadi kenangan yang tidak boleh dilupakan. Pertamanya, bilik-bilik luas dan selesa dengan dua katil jenis Queen yang boleh memuatkan empat orang.

Tilam tebal dan gebu pula memberi kepuasan kepada tetamu bermalam untuk tidur lena hingga ke pagi.

Terdapat 232 bilik penginapan untuk ditempah meliputi empat kategori iaitu Suite Apartment, Superior, Deluxe dan Super Deluxe.

Ruang bilik yang tersusun dan cantik dapat menarik pengunjung memilih Aseania Resort & Spa Pulau Langkawi sebagai tempat penginapan mereka di Pulau Langkawi, Kedah. Foto HAZROL ZAINAL, 17 SEPTEMBER 2021.

Seterusnya sudah pasti kolam mandi yang panjang. Dibina berkonsepkan taman tema air mini, kolam ini berukuran kepada 1.55 km sehingga mendapat pengiktirafan Malaysian Book of Record sebagai kolam terpanjang di Malaysia.

Malah ia pernah mendapat pengiktirafan sebagai kolam mandi terpanjang di Asia Tenggara.

Apa yang membuatkan teruja, taman air mini yang menawarkan kolam berombak, air terjun dan gelongsor bagi mereka yang menggemari aktiviti air.

Bagi mereka yang membawa anak-anak, berenanglah di situ sepuas-puasnya. Selain itu, mercu tanda Aseania adalah air terjun buatan yang tinggi dan besar tersergam indah.

Kolam terpanjang di Malaysia antara tarikan yang terdapat di Aseania Resort & Spa Pulau Langkawi, Kedah. Foto HAZROL ZAINAL, 17 SEPTEMBER 2021.

Airnya deras mengalir menuruni tembok batu tegak yang sengaja dibina untuk melengkapi landskap bertemakan air itu. Melihat latar hutan di sekitar, sungguh mendamaikan. Bersatu dengan warna biru kolam, membuat persekitaran rasa redup lagi nyaman.

Menurut Pengarah Operasi, Aseania Resort & Spa Pulau Langkawi, Rozaimi Mat Rashid, pihaknya kini menawarkan pakej promosi menginap tiga hari dua malam dengan harga serendah RM288.

Jelas beliau, pakej dengan pilihan sarapan pagi sebanyak RM20 seorang itu ditawarkan sehingga hujung bulan ini sahaja.

Pengarah Operasi Aseania Resort & Spa Pulau Langkawi, Rozaimi Mat Rashid menunjukkan kolam terpanjang di Malaysia yang merupakan tarikan utama di Aseania Resort & Spa Pulau Langkawi, Kedah. Foto HAZROL ZAINAL, 17 SEPTEMBER 2021.

“Tempahan bilik ketika ini sudah mencecah 40 peratus dan semakin meningkat di mana kami menyasarkan jumlahnya adalah 80 peratus pada Oktober sehingga Disember ini seperti sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Orang ramai boleh membeli dahulu pakej promosi dan menggunakannya kemudian pada masa datang,” katanya ketika ditembual MalaysiaGazette baru-baru ini.

Rozaimi juga memberitahu Aseania Resort & Spa Pulau Langkawi sebelum ini menjadi tumpuan pengunjung di kalangan keluarga kerana tarikan utama kolam mandi yang panjang dan air terjun buatan.

Selain itu katanya, resort itu turut terletak di lokasi yang strategik di mana berdekatan dengan Pantai Tengah dan Pantai Chenang.

Sementara itu, orang yang ini menginap di resort ini boleh melayari https://aseaniaresortspalangkawi.com/ atau menghubungi +604-955 2020 dan +6014-902 2018. – MalaysiaGazette

Kolam terpanjang di Malaysia antara tarikan yang terdapat di Aseania Resort & Spa Pulau Langkawi, Kedah. Foto HAZROL ZAINAL, 17 SEPTEMBER 2021.