KUALA LUMPUR – Perbicaraan hujah akhir pendakwaan bersambung hari ini membabitkan kes penggubahan wang haram, pecah amanah dana Yayasan Akalbudi milik bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Mahkamah Tinggi mendengar hujah pembelaan yang berterusan mendakwa anak guam mereka tidak sepatutnya disabitkan dengan mana-mana pertuduhan oleh pendakwaan.

Peguam bela yang mengetuai pasukan pembelaan, Hisyam Teh Poh menyambung hujahnya dengan mendakwa kes yang dikenakan ke atas Ahmad Zahid agak pelik kerana rata-rata keterangan saksi tidak menunjukkan kesalahan seperti didakwa pendakwaan.

Kata beliau, beberapa saksi utama dalam prosiding itu mendedahkan wang yang disalurkan kepada Yayasan Akalbudi bertujuan untuk amal jariah dan sumbangan.

Antara saksi yang dikaitkan dalam hujahnya ialah Junaith Asharab Md, Abu Hanifah Noordin, Shariff, Azlan Shah Jaffril dan Chew Ben Ben.

“Masking-masing beri keterangan wang yang diberikan kepada Yayasan Akalbudi sebenarnya adalah sumbangan. Semua telah menyatakan bahawa wang itu bukan tujuan dapatkan kontrak kerajaan.

“Jadi pelik juga bila pendakwaan kemukakan ini. Melainkan pendakwaan sebut kes yang ada fakta sama yang mana saksi-saksi telah sebut wang bukanlah satu bentuk rasuah sebaliknya sumbangan.

“Pendakwaan perlu buktikan sebenarnya alasan bayaran itu dibuat, adakah salah atau tidak,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.

Jelas Hisyam, pemberian wang dalam bentuk sumbangan untuk Yayasan Akalbudi tidak menyalahi undang-undang.

Namun Collin memberitahu, sumbangan politik tetap disenaraikan sebagai rasuah bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam pada itu, Hisyam turut mengemukakan RM2 juta daripada Pengarah Profound Radiance Sdn Bhd, Azlan Shah adalah untuk kebajikan dan amal jariah.

Ia merupakan syarikat yang beroperasi sebagai pusat sehenti untuk memproses permit kerja bagi pekerja warga Pakistan dan Nepal.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi.

Prosiding bersambung esok. – MalaysiaGazette