Wan Rosdy Wan Ismail ketika ditemui sidang media selepas meninjau Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, Kuantan.

KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang tidak menerima permohonan rasmi daripada mana-mana pihak bagi membina taman tema baharu bernilai RM100 juta di Cameron Highlands seperti yang digembar-gemburkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya ada mendengar cadangan itu namun perkara tersebut tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri.

“Kerajaan Pahang tidak pernah menerima permohonan rasmi daripada mana-mana pihak berhubung cadangan membina taman tema baharu di Cameron Highlands.

“Bagus juga NGO bantah, tapi tiada dibincangkan oleh Mesyuarat Exco, memang tiada permohonan rasmi berhubung pembinaan, sekadar sembang kedai kopi, jadi janganlah percaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, di sini, hari.

Hadir pada majlis Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Sebelum ini, tular cadangan pembinaan taman tema baharu bertemakan ski dibina di atas tanah seluas 24 hektar di Cameron Highlands, sekali gus mencetuskan kembimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

Pada awal Ogos lalu, Sim Leisure Group dilaporkan berhasrat membina sebuah taman tema bernama ‘Escape Cameron Highlands’ di atas tanah persendirian.

Menurut Wan Rosdy, pemaju tidak boleh membina atau memajukan tanah sekiranya belum mendapat kebenaran kerajaan negeri.

“Walaupun tanah persendirian bukan bermakna pihak berkaitan boleh buat mana-mana pembinaan begitu sahaja,” jelasnya. – MalaysiaGazette