Hari kedua menyaksikan seramai 583 pelajar di Kuantan dan lebih 13000 pelajar di seluruh Pahang dari tingkatan 4 dan 5 menerima vaksin dos pertama.

KUANTAN – Tiada sesiapa di Pahang akan tertinggal daripada menerima vaksin Covid-19, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Katanya, kerajaan negeri memberi penekanan terhadap konsep pergi mencari dan bukannya menunggu kehadiran atau pendaftaran penerima vaksin semata-mata.

“(Sebagai contoh) Golongan rentan dan gelandangan di Jalan Pasar Besar Kuantan dan Jalan Wong Ah Janga sudah ada yang menerima vaksin,

“Dan gejala negatif di lorong tersebut, kami kerajaan negeri sudahpun tukar dengan aktiviti postif serta berbentuk kerohanian, seperti surau, ekonomi.

“Bukan bila tular dalam ‘Facebook’ baru nak ambil tindakan, atau dengar komplen baru nak gerak,” katanya pada sidang media selepas meninjau Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, Kuantan.

Tambah beliau, seramai 30,000 peneroka Felda juga akan diberikan vaksin sebelum akhir September ini.

Ditanya mengenai pemberian vaksin kepada individu di bawah 18 tahun, Wan Rosdy berkata, ia mendapat reaksi positif dan proses vaksinasikan dilakukan tanpa menghadkan kepada pelajar tingkatan 4 dan 5 sahaja.

Tambah beliau, seramai 42,758 daripada 173,000 pelajar berusia 16 dan 17 tahun akan menerima vasin sebelum akhir September ini .

Sehingga kini, seramai 985,011 orang atau 83.8 peratus penduduk Pahang sudah menerima suntikan dos pertama daripada jumlah sasaran 1.2 juta orang yang layak.

Seramai 713,000 orang atau 61 peratus sudah lengkap dos kedua. – MalaysiaGazette