Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Seramai 543 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Pahang menikamati kadar kenaikan elaun sebanyak 50 peratus iaitu daripada RM500 kepada RM750.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rody Wan Ismail berkata, kenaikan sebanyak RM250 atau 50 peratus itu berkuatkuasa 1 Jun lalu dan diluluskan Mesyuarat Exco negeri hari ini.

“Nilai kenaikan ini ditanggung oleh kerajaan negeri terlebih dahulu sehinggalah kelulusan mengenainya diperoleh daripada agensi Kerajaan Persekutuan iaitu Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB),” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Wan Rosdy berharap dengan kenaikan itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan mereka.

“Ia sekali gus menjadi pendorong untuk menunaikan peranan dan tanggungjawab dengan lebih berkesan lagi,” katanya.

Dalam pada itu, mesyuarat juga meluluskan cadangan mewujudkan tiga lagi JPKK di negeri ini iaitu JPKK Kampung Seri Sedia, Ringlet dan Kampung Raja yang kesemuanya di Cameron Highlands.

“Sementara menunggu kelulusan kewangan dan penubuhannya oleh KPLB, kos bagi pengendalian ketiga-tiga JPKK ini juga akan ditangung terlebih dahulu oleh kerajaan negeri.

“Atas pewujudan JPKK yang baharu ini diharap, perkhidmatan kemasyarakatan yang lebih padu dan berkesan dapat diberikan demi manfaat penduduk di kawasan-kawasan terlibat,” katanya. – MalaysiaGazette