Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keadaan ekonomi dunia yang semakin pulih telah memberikan impak positif kepada prestasi perdagangan negara bagi tempoh Januari hingga Julai lalu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini kerana perdagangan negara meningkat 23.9 peratus kepada RM1.24 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Jumlah beliau, eksport juga berkembang 25.9 peratus kepada RM682.9 bilion dan import meningkat 21.6 peratus kepada RM554.17 bilion dan lebihan dagangan melonjak sebanyak 48.8 peratus kepada RM128.74 bilion.

“Peningkatan eksport ini didorong oleh pemulihan ekonomi global serta permintaan luar yang semakin meningkat di mana ianya dapat dilihat dengan kenaikan bagi hampir kesemua eksport barangan terutamanya elektrik dan elektronik (E&E), keluaran getah, keluaran petroleum, barangan perkilangan logam serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab rangkuman soalan bertulis di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mohamed Azmin menambah, prestasi perdagangan turut merekodkan beberapa pencapaian yang signifikan antaranya jumlah perdagangan Malaysia melepasi nilai RM1 trilion hanya dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menurut beliau, ia merupakan tempoh terpantas pernah direkodkan setakat ini.

Katanya, eksport pada bulan April lalu mencatatkan nilai tertinggi iaitu sebanyak RM105.59 bilion manakala eksport turut merekodkan nilai melebihi RM100 bilion pada bulan Mac lalu (RM105 bilion) dan bulan Jun lalu iaitu RM105.49 bilion.

“Pertumbuhan eksport barangan E&E adalah berikutan permintaan yang kukuh khasnya bagi peralatan semikonduktor dalam pengeluaran telefon pintar, komputer dan kelengkapan rumah bagi menampung peningkatan permintaan.

“Manakala, peningkatan eksport bagi sarung tangan getah adalah disokong
oleh permintaan tinggi di pasaran global berikutan pandemik Covid-19.

“Selain itu, kenaikan harga barangan komoditi seperti petroleum mentah dan minyak sawit turut menyumbang kepada peningkatan prestasi eksport,” katanya lagi. – MalaysiaGazette