Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap pada Majlis Perhimpunan Warga MITI dan Agensi di Menara MITI, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 10 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Malaysia terus menjadi pilihan sebagai destinasi pelaburan apabila berjaya menarik pelaburan daripada syarikat-syarikat multinasional dalam industri berteknologi tinggi dan berintensif modal ke negara ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia termasuk syarikat AT&S AG yang berpengkalan di Austria yang komited untuk melabur sebanyak RM8.5 bilion bagi pengeluaran integrated circuits (IC) substrates.

Katanya, syarikat lain adalah  SK Nexilis dari Republik Korea iaitu pengeluar kerajang tembaga yang turut menghasilkan bateri kenderaan elektrik dengan jumlah pelaburan RM4.2 bilion.

“Pembuat kereta terkemuka Jerman – Porsche AG (Porsche) juga telah mengumumkan keputusannya untuk membuka kilang di Kulim, Kedah menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di luar Eropah yang akan memasang kereta Porsche.

“Keputusan strategik oleh Porsche menunjukkan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan strategik bagi syarikat gergasi antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab rangkuman soalan bertulis di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mohamed Azmin menambah, yang terbaharu adalah Syarikat Taiyo Yuden dari Jepun iaitu pengeluar kapasitor seramik pelbagai lapisan (multilayer ceramic capacitor) yang akan
menambah pelaburan mereka sebanyak RM680 juta di Sarawak.

Selain itu menurut beliau, syarikat asing sedia ada yang terus mengembangkan operasi di Malaysia termasuk Intel iaitu syarikat pengeluar semikonduktor terbesar dunia dari Amerika Syarikat yang membawa masuk teknologi terkini Advance Assembly and Testing.

“Bosch yang merupakan syarikat Jerman yang mendirikan facility park untuk menguji komponen dan sensor semikonduktor; dan B.Braun, syarikat Jerman yang mengembangkan pusat ujian globalnya untuk alat perubatan kerana kemampuan serta tenaga mahir yang ada di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette