Novel Salina terjual hampir 450 naskhah dalam sesi jualan secara langsung di Facebook Garasi TV. foto: Garasi TV.

KUALA LUMPUR – Novel Salina menjadi  salah satu karya terlaris sepanjang zaman setelah menerima ratusan tempahan walau usianya telah 60 tahun sejak dicetak pertama kali pada tahun 1961.

Menerusi platform Garasi TV di Facebook, hampir 450 naskhah novel itu berjaya dijual dalam masa 80 minit semasa sesi siaran langsung baru-baru ini.

Pencapaian tersebut sekali gus menunjukkan masih ramai yang meminati karya sastera agung itu dan menjadi indikator novel Salina terus relevan sehingga hari ini.

Salina merupakan novel mengisahkan tentang perjuangan wanita naif pada zaman selepas Perang Dunia Kedua berlatarbelakang kemiskinan, konflik sosial masyarakat dan Salina yang terpaksa menghadapi lelaki durjana dalam hidupnya, Abdul Fakar.

Bagaimanapun naskhah awal Salina sebenarnya bertajuk Gerhana oleh penulisnya, Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said.

Beliau kecewa selepas novel yang ditulis pada usianya 23 tahun itu hanya memenangi hadiah saguhati dalam Peraduan Penulisan Novel 1958 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Memetik laporan Berita Harian, A Samad berasa marah ketika usia mudanya itu kerana karya tersebut gagal mendapat tempat pertama.

“Saya diberitahu sebab manuskrip itu hanya menang sagu hati termasuk tema dibawa tidak murni ketika itu,” katanya.

Justeru A. Samad bertekad menyiapkan manuskrip berjudul Gerhana yang mempunyai dua jilid itu.

Beliau mengakui tema novel itu tidak murni, namun itulah hakikat yang cuba disampaikan ketika Perang Dunia Kedua berakhir apabila setiap orang berusaha untuk terus hidup sehingga ada wanita terpaksa menjual maruah diri.

Judul Gerhana kemudiannya ditukar kepada Salina kerana A Samad ingin tajuk yang lebih tepat. – MalaysiaGazette