Pegawai keselamatan melakukan pemantauan di lokasi serangan bom kereta di Mogadishu. foto Getty Images

MOGADISHU – Tujuh orang terbunuh dan sembilan yang lain cedera setelah pengebom berani mati meletupkan kereta di persimpangan El-Gab berhampiran istana presiden, kata polis.

Abdifatah Aden Hassan, jurucakap polis Somalia berkata, sebuah kereta yang penuh dengan bahan letupan meletup ketika tiba berhampiran pusat pemeriksaan.

“Kami dimaklumkan tujuh orang terbunuh dan sembilan yang lain cedera dalam letupan itu,” katanya.

Saksi memberitahu Xinhua, pasukan keselamatan dikerahkan ke tempat kejadian untuk mengawal kawasan tersebut.

“Ini adalah letupan besar dan ketika saya cuba mendekati tempat kejadian, saya melihat kereta musnah akibat kesan letupan,” kata saksi Ahmed Ali.

Al-Shabab yang memerangi pemerintah mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Kumpulan itu diusir dari Mogadishu pada tahun 2011 oleh pasukan sekutu dan terpaksa meninggalkan sebahagian besar kubu kuatnya, tetapi ia masih menguasai kawasan luar bandar yang luas dan tetap menjadi ancaman utama untuk perdamaian di Somalia. – Xinhua