Bursa Malaysia
Logo Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka diniagakan tidak banyak berubah minggu depan, dengan paras sokongan-halangan segera antara 1,520 dan 1,560, kata penganalisis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng memberitahu Bernama bahawa syarikat broker menasihatkan para pelabur untuk mengurangkan saiz dagangan dan menyimpan dana untuk menambah jika terdapat kejelasan atau petunjuk yang lebih baik daripada pasaran.

Ini berdasarkan turun naik pasaran dan sentimen kegelisahan.

Sejajar dengan bursa serantau, Bursa Malaysia menyaksikan dagangan berhati-hati sepanjang minggu dengan ketidaktentuan mengenai pemaju hartanah China, Evergrande Group.

Sentimen pelabur yang lemah telah menyebabkan pasaran global gelisah berikutan kebimbangan terus meningkat mengenai kemungkinan kemungkiran syarikat yang besar.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, indeks petunjuk pasaran susut 16.45 mata untuk mengakhiri minggu ini kepada 1,532.06 daripada 1,548.51 sebelum ini.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 89.81 mata kepada 11,276.01, Indeks FBMT100 susut 86.34 mata kepada 10,973.52 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 110.11 mata kepada 12,304.03.

FBM 70 menambah 4.50 mata kepada 15,011.79 manakala FBM ACE merosot 39.0 mata kepada 7,162.22.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan berkurangan 130.77 mata kepada 6,295.65, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 96.36 mata kepada 15,193.44 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.95 mata kepada 200.56.

Indeks Penjagaan Kesihatan merosot 126.54 mata kepada 2,489.87 dan Indeks Tenaga susut 18.23 mata kepada 711.54, bagaimanapun Indeks Teknologi naik 3.30 mata kepada 96.88.

Pada minggu ini, jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 23.05 bilion unit bernilai RM15.80 bilion daripada 18.20 bilion unit bernilai RM12.65 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menambah kepada 14.96 bilion saham bernilai RM13.68 bilion daripada 11.79 bilion saham bernilai RM11.26 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.71 bilion unit bernilai RM295.22 bilion daripada 1.53 bilion unit bernilai RM243.55 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 6.26 bilion saham bernilai RM1.81 bilion daripada 4.76 bilion saham bernilai RM1.14 bilion minggu lepas. – MalaysiaGazette