Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 19,604,699 individu atau 83.7 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

Berdasarkan perincian yang dikongsi menerusi portal COVIDNOW hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 93.7 peratus atau 21,944,808 individu daripada populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

Selain itu, seramai 28,982 atau 0.9 peratus daripada populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan vaksin setakat semalam.

Bagi kedua-dua populasi, sebanyak 269,465 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 117,196 dos pertama dan 152,269 dos kedua menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos vaksin sebanyak 41,457,628 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

Sementara itu, sebanyak 278 kes kematian akibat COVID-19 dicatatkan setakat pukul 11.59 malam tadi (26 Sept), menjadikan jumlah kumulatif kematian kini adalah 25,437.

Menurut portal GitHub KKM, jumlah itu merangkumi sembilan kematian sebenar COVID-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam (26 Sept), manakala selebihnya adalah kes kematian tertunggak atau ‘backlog’.

Bagaimanapun, angka itu boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

Berdasarkan graf purata jumlah kes kematian harian sebenar selama tujuh hari pula, sebanyak 90 kematian sebenar akibat COVID-19 dicatatkan.

Sebanyak 99 daripada jumlah kematian baharu itu dilaporkan berlaku di luar hospital (BID).

— BERNAMA

 


IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast