Kerja-kerja penggalian Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada Perasmian “ECRL 1st Tunnel Construction Breakthough” di Paka, Dungun, Terengganu. Foto SYAFIQ AMBAK, 09 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Dana mudah cara khusus untuk projek infrastruktur akan diwujudkan di bawah model Perkongsian Awam Swasta (PPP) 3.0.

Model pelaksanaan projek tidak akan melibatkan komitmen kewangan kerajaan dan menggunakan kaedah Request for Proposal (RFP).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan projek-projek di bawah model baharu ini dijangka dapat diumumkan pada pertengahan tahun 2022.

Jawatankuasa khas PPP yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara akan ditubuhkan bagi membolehkan perundingan projek PPP dapat diselesaikan dalam tempoh setahun.

Dalam ucapannya semasa membentangkan usul RMK12, perdana menteri berkata, infrastruktur dan utiliti asas yang berkualiti dan berdaya harap seperti jalan raya, rel, bekalan air dan elektrik penting bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Rangkaian rel dan jalan raya bersepadu yang menghubungkan lapangan terbang dan pelabuhan dengan kawasan perindustrian, bandar dan luar bandar akan dipertingkat.

Ini melibatkan antaranya projek-projek utama seperti berikut:

• Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa Satu yang menghubungkan Rawang ke Salak Selatan dijangka siap pada tahun 2022;

• Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru yang merupakan jajaran akhir landasan berkembar elektrik dari Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru, Johor dijadualkan siap pada tahun 2023;

• Pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diteruskan dan dijangka siap pada tahun 2026;

• Projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan stesen Bukit Chagar, Johor Bahru dengan stesen Woodlands North di Singapura akan mula dibina pada hujung tahun 2021;

• Lebuhraya Pantai Barat yang melibatkan negeri Selangor dan Perak dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024;

• Projek Central Spine Road dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai, Kelantan dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun 2025; dan

• Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast