Pengurus Besar Hotel Renaissance, Gagan Singh mengedarkan bungkusan makanan percuma kepada individu terkesan Covid-19 di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Menyedari ramai individu terkesan ekoran pandemik Covid-19, Hotel Renaissance di sini mendekati orang ramai dengan mengedarkan makanan percuma yang diberikan setiap hari.

Pengurus besarnya, Gagan Singh berkata, program yang dilaksanakan sejak 7 Julai lalu merupakan tanggungjawab sosial korporat ( CSR) pihaknya membabitkan keseluruhan kos sebanyak RM100,000.

“Program ini merupakan program food bank daripada usaha pihak hotel dan aktiviti pemberian makanan percuma ini kami edarkan setiap hari pukul 5 petang.

“Tidak kurang 200 bungkus makanan setiap hari akan kami sediakan dan semuanya dimulakan seawal jam 2 petang lagi.

“Kami faham dalam situasi sekarang, ada sebahagian kita yang terkesan dan diharapkan dengan aktiviti CSR Renaissance ini dapat memberi sedikit senyuman kepada penerima,” katanya di temui selepas menyampaikan bungkusan makanan percuma kepada individu terkesan Covid-19 di sini hari ini.

Dalam pada itu, kata Gagan, pihaknya juga sentiasa memastikan setiap penerima mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebelum mengambil bungkusan makanan masing-masing.

“Seperti biasa kami memang akan memastikan jarak setiap penerima dijaga dengan betul. Walaupun ianya telah menjadi norma baharu dalam kehidupan kita, pihak hotel tetap peka dengan perkara-perkara sebegini,” katanya.

Terdahulu hotel berkenaan juga telah menetapkan prosedur penting yang perlu dipatuhi pelanggan seperti lengkap vaksinanasi serta berasal dari Johor berikutan peralihan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara di negeri itu dengan kebenaran pembukaan sektor perlancongan termasuk perhotelan.

Hotel Renaissance turut menganggarkan peningkatan perolehan pengunjung antara 50 hingga 60 peratus sepanjang peralihan fasa 2 di negeri itu.- MalaysiaGazette