courier service company lorry driver burnt to death fatal accident Larkin Johor Bahru
Mangsa seorang pemandu syarikat kurier maninggal dunia di tempat kejadian.
JOHOR BAHRU – Seorang pemandu syarikat perkhidmatan menghantar barang maut selepas kenderaan dipandunya terbakar akibat terlibat dalam kemalangan di Jalan Tasik Utara, Larkin, di sini, hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba I, Mohd Suhaimi Jamal berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11.40 pagi dan seramai 10 anggota dengan kekuatan satu jentera telah digegaskan ke lokasi kejadian.

Kemalangan itu, jelasnya, melibatkan sebuah lori lima tan yang dipandu mangsa lelaki berusia 23 tahun.
Difahamkan, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa cuba mengelak kon jalan sebelum merempuh sebatang pokok.
“Kemalangan itu mengakibatkan lori mulai terbakar, dan mangsa tidak dapat keluar kerana tersepit, orang awam cuba mengeluarkan mangsa namun api terlalu marak,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Suhaimi berkata, pasukan penyelamat bertindak menggunakan satu aliran bantu mula bagi memadamkan kebakaran.
“Kemusnahan akibat kebakaran dianggarkan sebanyak 70 peratus dan anggaran kerugian masih lagi didalam siasatan.
“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk proses bedah siasat,” ujarnya. – MalaysiaGazette