Komisioner Datuk Saiful Azly Kamaruddin. foto AFFAN FAUZI, 25 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman antara 33 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam senarai pertukaran.

Datuk Saiful Azly Kamaruddin bertukar sebagai Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) (Penyelidikan dan Pembangunan).

Pengumuman pertukaran dikeluarkan oleh Superintendan Komunikasi Korporat Urus Setia KPN, Superintendan Skandaguru Anandan malam ini.

Manakala Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan bertukar ke Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti menggantikan Saiful Azly.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Jauteh Dikun pula akan mengisi kekosongan Mazli dengan memangku pangkat sebagai deputi komisioner (DCP).

Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Penjawatan), Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan di Bukit Aman, Datuk Azizi Mat Aris pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis negeri dengan memangku pangkat DCP.

Dalam pada itu, Juruiring Polis kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Datuk Yahaya Othman dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur dengan memangku pangkat deputi komisioner menggantikan penyandangnya Datuk Yong Lei Choo yang akan bersara wajib 27 Oktober ini.

Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Senior Asisten Hamzah Ahmad pula akan menyandang jawatan Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM),Kementerian Dalam Negeri) dengan memangku DCP.

Selain itu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak, Senior Asisten Mohd Alwi Zainal Abdin akan memikul jawatan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Penjawatan), Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan di Bukit Aman menggantikan Azizi.

Pada peringkat daerah, pegawai kanan yang terlibat pertukaran adalah Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, Asisten Komisioner (ACP) Noorzainy Mohd Noor yang akan menggantikan tempat Mohd Alwi di Perak dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC).

Tempat beliau sebagai Ketua Polis Daerah SPU akan digantikan oleh Superintendan D14 Pengawasan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Superintendan Mohd Radzi Ahmad dengan memangku Pangkat ACP.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli pula bertukar ke Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah Kewangan/Perolehan/Kepolisan Am), Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman dengan memangku SAC.

Tempat beliau akan digantikan oleh Supt D3 Risikan/Operasi JSJ Bukit Aman, Superintendan Cha Hoong Fong dengan memangku pangkat ACP.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Mohd Said Ibrahim pula akan bertukar sebagai Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, dengan memangku pangkat SAC menggantikan SAC Hamzah Ahmad.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Ma’arof akan menggantikan Mohd Said sebagai Ketua Polis Daerah Seremban dengan memangku ACP.

Seorang lagi pegawai kanan peringkat daerah iaitu Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Afzanizar Ahmad turut bertukar ke Bukit Aman sebagai Ketua Penolong Pengarah D1 Kepolisan Kawalan Dalaman, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman memangku pangkat SAC.

Supt Seksyen Pelaksanaan dan Pemantauan, Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan), Urus Setia Pejabat KPN, Bukit Aman, Superintendan Christopher Patit menggantikan Afzanizar sebagai Ketua Polis Daerah Melaka Tengah memangku pangkat ACP.

Dalam pada itu, jawatan Ketua Polis Daerah Brickfields turut mengalami pertukaran apabila Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Amihizam Abdul Shukor pula diangkat untuk jawatan tersebut dengan memangku pangkat ACP menggantikan  ACP Anuar Omar yang dijangka bersara wajib tidak lama lagi.

Ketua Polis Balai Taman Tun Dr Ismail (Modern Policing) IPD Brickfields, Deputi Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi akan bertukar ke Perlis sebagai Ketua Polis daerah Arau memangku Superintendan.

Kesemua pelantikan mereka berkuatkuasa mulai 1 November ini.-MalaysiaGazette