Ahmad Maslan Barisan Nasional BN candidates Melaka state election
Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) bersetuju mengenai penangguhan Pemilihan Parti UMNO sehingga 29 Disember 2022.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini bermakna mesyuarat boleh diadakan secara bersemuka, maya atau gabungan bersemuka mengikut situasi Covid-19 di kawasan masing-masing.

“Kehadiran mesyuarat adalah dengan korum minima satu per empat daripada jumlah yang layak hadir atau lebih daripada satu per empat asalkan mengikut SOP yang dibenarkan mengikut kawasan masing-masing.

“Mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam menetapkan semua mesyuarat tidak diadakan pemilihan jawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad berkata, dalam mesyuarat yang sama juga turut menetapkan tarikh-tarikh untuk diadakan Persidangan Cawangan, Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO 2021.

Bersempena sambutan Jubli Intan 75 Tahun UMNO, parti itu juga akan mengadakan Majlis Anugerah Tokoh UMNO Negeri-Negeri.

Antara nama tokoh yang akan diraikan adalah Datuk Seri Dr Md Isa Sabu (Perlis) dan Datuk Seri Amar Osman Aroff (Kedah), Datuk Hussein Ahmad (Kelantan) dan Datuk Mohd Salleh Ismail (Terengganu).

Bagi Pulau Pinang pula, tokoh yang akan diraikan adalah Tan Sri Dr Ibrahim Saad, Tan Sri Ramli Ngah (Perak), Tan Sri Sabaruddin Chik (Pahang), Tan Sri Onn Ismail (Selangor), Datuk Faridah Abu Hassan (Wilayah Persekutuan), Tan Sri Haji Ampong Puyon (Sabah) dan Tan Sri Zahar Datuk Nika Ujang (Negeri Sembilan).

Tidak hanya itu UMNO turut memberi menghargai sumbangan mereka yang telah tiada antaranya Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Ithnin (Melaka) dan Allahyarham Tan Sri Mohamad Aziz (Johor).

Sementara itu, Ahmad berkata, MT turut komited mendukung kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kami berharap agar Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta inisiatif membantu rakyat dapat dilaksanakan dengan jayanya demi manfaat keseluruhan rakyat.

“MT UMNO juga berharap agar krisis kesihatan dan krisis ekonomi dapat diselesaikan seberapa segera agar rakyat dapat hidup dalam suasana Keluarga Malaysia yang makmur, inklusif dan mampan,” katanya.- MalaysiaGazette