KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Putrajaya tidak terkesan dengan peletakan jawatan Datuk Seri Erwan Tahir dan penyertaan semula beliau ke dalam UMNO hari ini.

Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Bahagian Putrajaya, Fathul Azam Hashim berkata, Erwan sebenarnya telah meletakkan jawatan Ketua Bahagian dengan disaksikan oleh Ahli Jawatankuasa Bahagian dan Ketua-Ketua Cawangan pada 10 Oktober tahun lalu.

Tindakan itu dibuat selepas beliau tewas dalam pemilihan jawatan Naib Presiden yang ditandinginya pada tahun lalu.

Sepanjang tempoh kekosongan jawatan tersebut, Timbalan Ketua Bahagian telah memangku sekali gus menyandang jawatan Ketua Bahagian Bersatu Putrajaya.

“Ingin dimaklumkan juga Bersatu Putrajaya tidak terkesan dengan peletakan jawatan beliau, malah semakin mendapat sambutan keahlian dari warga Putrajaya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Fathul Azam, Bersatu Putrajaya juga berjaya menubuhkan sembilan cawangan baharu dengan keahlian sebanyak 1,030 ahli dan giat menyantuni penduduk Putrajaya dengan berbagai program dan bantuan.

“Bersatu Putrajaya juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Seri Erwan Tahir,” katanya.

Erwan menyerahkan borang menyertai semula UMNO kepada Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini.  – MalaysiaGazette