KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu menyangkal kenyataan Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF) yang mengkritik keras dasar tindakan afirmatif yang telah dipersetujui sejak sekian lama berkenaan pemilikan ekuiti 51 peratus Bumiputera.

FMFF didakwa menghina dasar ekonomi baru dan hak-hak Bumiputera memandangkan ia tidak melibatkan perniagaan pengelola/fret tapi hanyalah syarikat ejen penghantaran yang menjalankan aktiviti ‘customs brokerage’.

Pengerusi, Abdul Halim Husin berkata, dasar ini telah dipersetujui sejak Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan pada tahun 1971, merupakan tindakan afirmatif untuk membantu meningkatkan penglibatan Bumiputera di dalam sektor logistik dan ianya juga selari dengan Artikel 153 perlembagaan.

Terdapat pelbagai lesen yang diperlukan dalam sektor logistik tetapi hanya satu lesen sahaja iaitu Lesen Ejen Penghantaran yang memerlukan 51% ekuiti Bumiputera.

Lesen-lesen Pergudangan, Pengangkutan, Perkapalan, Agen kargo udara, Pengangkutan Darat, Perkhidmatan lori rentas sempadan. (Cross Border Trucking), Depot Simpanan Kontena Kosong, Pengangkutan Kontena (Haulage), Perkhidmatan Logistik Keseluruhan, Integrated Logistics License (ILS), Bonded Storage, Pergudangan di kawasan yang diwartakan oleh Kementerian Kewangan/Kementerian Pengangkutam.

Untuk makluman semua lesen perkhidmatan ini tidak disyaratkan untuk dimiliki 51% oleh Bumiputera, malah lesen tersebut boleh diperolehi oleh syarikat 100% bukan Bumiputera.

Tambahnya, perniagaan dari Lesen Ejen Penghantaran hanya terhad kepada kerja yang melibatkan pelepasan kastam sahaja ia tidak merangkumi fungsi lain saperti penghantaran lori (trucking), pergudangan (warehousing) dan lain-lain.

Kajian ringkas MTEM menunjukkan pendapatan dari aktiviti penghantaran secara purata hanya lebih kurang RM100,000 setahun memberi keuntungan bersih lingkungan RM30,000 hingga RM40,000 setahun atau RM4,000 sebulan iaitu berada dalam kategori pendapatan B40.

Boleh dianggap syarikat penghantaran ini secara purata kalau dibandingkan dengan industri binaan mereka tidak lebih dari kategori syarikat Kelas ‘F” atau G1.

”Walaupun semua pemain industri sudah tahu tentang ketetapan ini sejak sekian lama, namun kerajaan masih bersikap wajar, kerana pada tahun 2018 telah diputuskan bahawa Syarikat Ejen Penghantaran sebelum 1976 tidak perlu patuh pada syarat ini.

”Syarikat yang berdaftar di antara 1976 hingga 1990 diminta
untuk mematuhi syarat 30% pemilikan Bumiputera manakala selebihnya barulah diminta untuk mematuhi syarat 51% pemilikan Bumiputera.

”Syarat Modal berbayar untuk syarikat berlesen ini hanyalah RM100,000. Fungsi penghantaran  adalah fungsi yang paling rendah nilainya di dalam keseluruhan sektor logistik rantaian nilai (value chain sector). Jumlah nilai perkhidmatan penghantaran adalah kurang dari 1%
daripada RM120 billion – iaitu jumlah nilai “output” keseluruhan sektor logistik.

”Malah kerajaan telah pun meliberalisasikan kebanyakan sektor ekonomi yang mengecilkan ruang dan peluang pemain Bumiputera dalam industri ini untuk mendapat apa apa kelebihan,” katanya.

MTEM turut berkata, dakwaan FMFF yang mengatakan ada desakan kepada kerajaan untuk memaksa pemegang saham bukan Bumiputera untuk jual saham mereka kepada Bumiputera adalah tomahan yang tidak berasas, tidak masuk akal, berniat jahat serta memutarbelitkan fakta dan cuba mengeruhkan hubungan sesama kaum.

”Kenapa perlu mereka mendesak jika sudah pun miliki 51% ekuiti? Dakwaan sebegini wajar dikenakan tindakan,” tegas beliau.

Ini kerana, Abdul Halim berkata, dapatan MTEM mendapati ramai pemain bumiputera yang tulen dan “genuine” berjaya menjadikan syarikat Ejen Penghantar sebagai loncatan membina kapasiti dalam industri ini dan bersaing secara terbuka melangkaui aktiviti ejen penghantar yang terhad itu.

Namun dalam sektor logistik Bumiputera masih jauh kebelakang.

Malah, tuduhan hanya golongan Elit Bumiputera sahaja yang mendapat keuntungan adalah tidak tepat kerana pendapatan dari perniagaan sebagai ejen penghantaran bukanlah lumayan sangat dan dakwaan ini tidak lebih dari usaha untuk mencari dalil untuk mula membasmikan syarat penglibatan bumiputera dalam ekonomi.

Lantaran itu, MTEM menyarankan FMFF untuk jangan salah tafsir slogan Keluarga Malaysia sebagai tanda isyarat untuk mengagalkan agenda ekonomi bumiputera melalui tindakan afirmatif untuk sektor yang paling kecil dalam industri. Adakah FMFF lebih suka industri ini didominasi oleh satu kumpulan dan tidak mahu mencipta kemakmuran bersama?

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan gejala Ali-Bababerlaku kerana kedegilan mereka yang tidak pernah menerima keperluan pemerkasaan Agenda Ekonomi bumiputera.

Persoalannya mengapa mereka melantik bumiputera dari kalangan yang tidak ada nilai tambah? Dapatan kami mendapati juga ada yang meletakkan pemandu peribadi, pekerja penghantar “dispatch” sebagai pengarah dan pemegang saham.

”Jika masih ada lagi gejala ali-baba ini , ia perlu ditangani dengan tegas lebih-lebih lagi terhadap pihak-pihak yang mendalangi aktiviti “sabotaj ekonomi” dengan sepenuh kuasa undang-undang tanpa mengira kaum dan kedudukan Sebaiknya “Beneficial Owner” syarikat yang bukan Bumiputera seperti ini harus dibatalkan lesen mereka,” ujar beliau.

Jelasnya, ketetapan ini sekiranya dilaksana dengan betul akan mengurangkan ruang rasuah sekaligus memastikan mana-mana aktiviti ekonomi tidak diidentifikasikan dengan mana-mana kaum.

Sekiranya sejak awal lagi syarikat “ali-baba” mencari rakan niaga bumiputera yang tulen dan “genuine” sudah pasti hari ini kita mempunyai pemain industri yang berbilang kaum yang kuat dan mampu menandingi pemain industri antarabangsa.

Oleh itu, MTEM memohon Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob dapat memberi mesej yang jelas dan terus tegas dalam melaksanakan dasar yang telah ditetapkan dengan beberapa syarat tambahan bukan sahaja dari isu ekuiti tapi memastikan pekerja, pengurus dan pengarah juga melibatkan
Bumiputera.

Malah semua pemegang ekuiti bumiputera itu perlu menghadiri temuduga oleh Pihak Kastam untuk membuktikan mereka bukan “Ali” dalam syarikat Ali Baba.

Abdul Halim berkata, hasutan FMFF ini melagakan keluarga Bumiputera dengan Bukan Bumiputra dengan tuduhan yang tidak adil seolah-olah Bumiputera mahu mencuri hak dan kekayaan mereka.

Sehubungan itu, MTEM menyarankan semua golongan untuk tidak menyalahtafsirkan slogan Keluarga Malaysia sebagai tanda isyarat “open season” bagi meningkatkan usaha niat jahat untuk menggagalkan agenda Ekonomi Bumiputera.

”Kita mohon semua pemegang taruh ekonomi Bumiputera bangkit dan sedar, ini adalah serangan terhadap agenda pemerkasaan bumiputera yang menzahirkan ketamakan pemain industri yang mahu terus memonopoli pasaran sekaligus mencabar hak-hak yang termaktub dalam perlembagaan.

”Jikalau kerajaan mengalah, nescaya segala permit dan kelebihan dari pelbagai sektor lain yang diberikan kepada bumiputera juga akan terus dipertikaikan. Kata dua harus diberikan kepada mereka ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette