Mayat lelaki rentung ditemui dalam sebuah kereta yang terbakar di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Perepat, dekat Klang.

KLANG – Satu mayat rentung ditemui dalam sebuah kereta  terbakar di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Perepat di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya telah menerima maklumat berhubung kejadian penemuan mayat itu kira-kira jam 10 pagi hari ini.

Katanya, bertindak atas maklumat sepasukan anggota polis bersama unit forensik dan unit anjing pengesan (K9) serta unit forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat telah bergegas ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Kancil itu hangus terbakar 100 peratus.

“Satu mayat ditemui di bahagian tempat duduk penumpang belakang telah terbakar kira-kira 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Siasatan awal polis mendapati kejadian dipercayai berlaku lebih kurang dua atau tiga hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang telah berulat.

Kereta berkenaan dikesan milik seorang wanita tempatan yang tinggal di sekitar daerah Klang.

Wanita berkenaan memaklumkan kereta milik dia telah dipandu oleh bapanya yang keluar dari rumah sejak seminggu lalu dan masih belum pulang.

Menurutnya, laporan polis mengenai kehilangan bapanya telah dibuat.

Vijaya Rao berkata, polis telah mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil laporan bedah siasat. – MalaysiaGazette