Foto Facebook Badminton Association of Malaysia - BAM.

KUALA LUMPUR – Malaysia terpaksa akur sekadar muncul naib juara Kumpulan D selepas tewas di tangan Jepun 1-4 dalam aksi terakhir Piala Sudirman 2021, awal pagi tadi.

Malam ini, skuad badminton negara akan bertemu Indonesia untuk aksi suku akhir di Vantaa, Finland.

Jepun yang muncul juara kumpulan akan menentang Taiwan dalam perebutan tempat ke separuh akhir.

Dua lagi perlawanan suku akhir menyaksikan juara bertahan, China akan berdepan Denmark manakala Korea Selatan bertemu Thailand.

Pada aksi bertemu Jepun, hanya beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya mengutip mata selepas menewaskan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 22-20, 14-21, 21-16.

Aaron-Wooi Yik dijangka membuat perhitungan dengan pasangan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dalam aksi bertemu Indonesia, malam ini.

Sebagai rekod, pasangan negara itu berjaya menewaskan lawan yang sama ketika aksi suku akhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang menyaksikan mereka memenangi pingat gangsa.

Sementara itu, perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang dijadual bertemu Anthony Sinisuka Ginting malam ini berkata, dia sudah bersedia di sebalik kekalahan di tangan pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota 18-21, 10-21, awal pagi tadi. – MalaysiaGazette