Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba (tengah) bergambar kenangan dengan para petugas pada Majlis Penutupan Pusat Pemberian Vaksin Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan dilaksanakan sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bermula 1 November depan berikutan operasi Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) yang bakal tamat pada 31 Oktober ini.

Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, susulan perkembangan PICK yang telah berada pada tahap yang baik, mandat bagi usaha imunisasi penduduk yang selanjutnya akan dipulangkan semula oleh CITF kepada KKM.

Ia selaras dengan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, katanya ketika berucap sempena hari terakhir Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega, di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Jelas Dr. Adham, kementeriannya telah sepakat untuk memulangkan tugas-tugas imunisasi kepada KKM bagi melancarkan proses pemberian vaksin.

“Saya yakin KKM sememangnya berpengalaman dan bersedia, terutamanya apabila KKM kini sedang giat menjalankan vaksinasi Covid-19 remaja yang sedang berjalan,” tambahnya.

Untuk rekod, CITF ditubuhkan pada 3 Februari lalu berfungsi sebagai pemantau kerangka kerja dan strategi keseluruhan bagi menyokong pelaksanaan PICK.

Sementara itu, Dr. Adham berkata, sepanjang 103 hari beroperasi PPV Bukit Jalil yang telah memberikan 730,000 dos vaksin.

Tambahnya, PPV itu juga merupakan yang pertama melaksanakan vaksinasi untuk Fasa 3 di Lembah Klang.

Justeru pada hari terakhir PPV itu, Dr. Adham merakamkan penghargaan kepada semua petugas yang telah berkhidmat memastikan program imunisasi di situ sentiasa berjalan lancar.

“PPV ini juga merupakan satu-satunya PPV yang dikhaskan untuk walk-in bukan warganegara bermula 9 sehingga 22 Ogos lalu yang menyaksikan sebanyak 90,579 dos diberikan dalam tempoh tersebut.

“Sekalung penghargaan juga kepada petugas beruniform daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), RELA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang bertungkus-lumus memastikan penerima vaksin mematuhi SOP.

“Tidak dilupakan juga terima kasih kepada Healthcare Operators iaitu NGT Solution di HCO A, Naluri Hospital di HCO B dan Salam Alliance di HCO C. Pengorbanan dan penat lelah anda telah menyumbang kepada kejayaan yang dapat kita lihat dalam program imunisasi negara hari ini.

“Terima kasih kepada anda semua yang telah bertungkus lumus dari mula matahari terbit sehingga lewat malam semata-mata untuk memastikan orang ramai yang datang untuk divaksinasi memperoleh pengalaman yang baik di sebalik pelbagai cabaran,” katanya lagi.- MalaysiaGazette