Pakatan Harapan PH flag Sarawak state election polls
Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR – Peguam Negara digesa menjelaskan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kes mahkamah melibatkan individu berprofil tinggi. 

Majlis Presiden Pakatan Harapan mendesak Tan Sri Idrus Harun memberi penjelasan memandangkan keputusan terhadap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan baru-baru ini.

Ahmad  yang juga Ahli Parlimen Pontian dilepas dan dibebaskan daripada dua tuduhan iaitu gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan memberi pernyataan palsu pada 29 September lepas.

Kata Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan bersama, pihaknya cukup kesal dengan keputusan yang dikenakan terhadap Ahmad sambil menggesa untuk penjelasan sama ada semua kes rasuah dengan pembayaran semula balik wang sogokan yang dirampas itu.

Selain itu Majlis Presiden PH juga turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tampil dengan penjelasan berkaitan SOP itu.

“Ini seperti acuh tidak acuh. Adakah SOP kini membolehkan seseorang boleh didakwa mencuri wang untuk dilepaskan dengan membayar balik sebahagian daripada barang kes tersebut?

“Kami menggesa Peguam Negara beri penjelasan memandangkan keputusan untuk mendakwa atau menarik pendakwaan terhadap seseorang itu terletak di tangan Peguam Negara.

“Demi menegakkan kedaulatan undang-undang, trend baharu Peguam Negara dan SPRM jelas melanggar prinsip bahawa keadilan itu bukan sahaja mesti dilakukan tetapi mesti disaksi dilakukan,” katanya dalam satu satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu;  Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. – MalaysiaGazette