KUALA LUMPUR – Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) memandang serius mengenai kejadian jangkitan Covid-19 yang berlaku semalam di sebuah tempat penginapan terkemuka di Langkawi yang telah melibatkan 59 pekerja mereka.

Oleh itu MATA menggesa semua permis penginapan di bawah gelembung pelancongan, mengambil iktibar dengan kejadian semalam yang sedikit sebanyak dapat melunturkan keyakinan orang ramai untuk bercuti.

”Sudah tentu kita tidak mahu industri pelancongan negara ditutup sekali lagi akibat pandemik Covid-19 yang telah meruntuhkan sebahagian industri pelancongan negara.

”Maka MATA menggesa semua permis penginapan di bawah gelembung pelancongan mengambil tindakan pro aktif dengan menyaring kesemua pekerja mereka dengan menggunakan alat saringan kendiri sebelum memulakan tugas.

”Ujian saringan kendiri ini boleh dilakukan sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi mengelakkan penularan Covid-19 di permis penginapan mereka,” kata presidennya, Datuk Mohd Khalid Harun.

Gesaa ini juga tidak terkecuali kepada pengusaha-pengusaha pelancongan lain yang secara langsung terlibat dalam gelembung pelancongan.

Mohd Khalid menambah, majikan perlulah berkorban sedikit wang dengan membeli kit saringan kendiri bagi menjamin kesihatan pekerja mereka bebas dari Covid-19 kerana ia juga merupakan satu tanggugjawab majikan bagi memastikan pekerja mereka selamat untuk berkerja.

MATA yakin sekiranya semua permis penginapan dan pengusaha pelancongan dapat melakukkan ujian saringan kendiri ianya sudah tentu dapat menyakinkan pelancong untuk datang menginap dan bercuti ke tempat mereka.

”Nasihat MATA kepada semua pengusaha pelancongan untuk sama-sama berganding bahu bagi menjayakan gelembung pelancongan dengan memastikan premis mereka bebas dari Covid-19,” ujar beliau. – MalaysiaGazette