Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi meminta saksi dan juga mangsa dalam kes berkaitan dakwaan menerima gangguan seksual daripada Ebit Lew dinasihatkan  tampil  membantu siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, ia bertujuan untuk memastikan polis dapat mengambil keterangan mangsa dan saksi dalam kes terbabit.

Beliau mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana individu iaitu saksi atau mangsa supaya tampil segera membantu siasatan melengkapkan kes melibatkan pendakwah terkenal itu.

“PDRM mahu menasihatkan mangsa atau saksi yang berkemungkinan terkesan supaya sila tampil segera ke hadapan dan bantu kami untuk meneruskan siasatan.

“Setakat ini, ada beberapa saksi yang sudah memberi kerjasama dengan tampil dan sudah dirakam keterangan dalam kes terbabit.

“Maka PDRM harap mereka (saksi, mangsa) yang masih ada di luar sila tampil beri kerjasama teruskan siasatan kami,” katanya ketika dihubungi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Terdahulu dalam perkembangan kes berkenaan, Bukit Aman memaklumkan pihaknya masih menyiasat video dan mesej lucah yang tular di aplikasi Telegram dikaitkan dengan seorang lagi pendakwah.

Pada Khamis lalu, Bukit Aman megesahkan pihaknya sudah membuka satu kertas siasatan berhubung video dan mesej lucah yang tular di aplikasi Telegram dikaitkan dengan pendakwah terbabit.

Malah pada 1 Oktober lalu, Abd Jalil mengesahkan Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew dan isterinya telah hadir ke Bukit Aman dan selesai dirakam keterangan untuk membantu siasatan.

Beliau dalam perkembangan berkaitan menasihatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan apa-apa jua bahan di mana-mana platform bagi mengelak sebarang spekulasi sehingga menjejaskan siasatan polis.-MalaysiaGazette