Pendakwah terkenal, Ustad Ebit Lew berjalan keluar selepas selesai memberi keterangan kepada polis berkaitan siasatan kes dakwaan gangguan seksual ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur pada 19 Ogos lalu. Foto MOHD ADZLAN, 19 OGOS 2021.

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih dalam proses mengumpul segala bukti bagi melengkapkan siasatan dakwaan gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal tempatan, Ebit Lew.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan ketika dihubungi berkata, siasatan dijalankan pasukan pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman.

“Kita (Bukit Aman) masih dalam proses mengumpul bukti-bukti penting untuk melengkapkan kertas siasatan.

“Namun, pada masa yang sama, kita menyeru mana-mana individu di luar yang mempunyai maklumat tentang kes ini tampil segera di mana-mana balai polis yang berdekatan dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis sebagai membantu siasatan.

“Kerjasama ini sangat diharapkan bagi melicinkan lagi proses melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Tambah beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini, polis memulakan siasatan terhadap Ebit selepas menerima laporan daripada beberapa individu yang mendakwa kononnya pendakwah itu terlibat dalam gangguan seksual.

Rentetan laporan itu, Ebit telah hadir ke Bukit Aman pada 19 Ogos lalu sekitar jam 9 pagi dan dirakam keterangan berhubung penyebaran video gangguan seksual itu.

Bercakap kepada media di hadapan Bukit Aman, Ebit menafikan dakwaan gangguan skesual yang dilemparkan ke atas beliau sambil menyifatkannya sebagai satu fitnah melampau.-MalaysiaGazette