Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Polis  sudah merakam keterangan daripada mangsa atau saksi yang dikaitkan dengan siasatan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan bagaimanapun berkata, pihaknya masih mencari bantuan saksi-saksi lain yang terlibat dalam kes yang sama supaya tampil membantu siasatan.

“Polis sudah merakam keterangan daripada mangsa (saksi) dalam siasatan kes membabitkan Ebit Lew namun sejak kenyataan tempoh hari, tiada saksi-saksi baharu yang tampil lagi.

“Polis masih menunggu saksi-saksi lain yang ada supaya tampil memberi maklumat dalam kes ini untuk membantu siasatan polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Siasatan ke atas Ebit Lew akan diteruskan hingga polis puas hati 

Pendakwah terkenal ke Bukit Aman rakam keterangan 

Ustaz Ebit Lew Selesai Beri Keterangan di Bukit Aman 

Bukit Aman sahkan kehadiran polis di rumah Ebit Lew 

Fitnah ini amat kejam namun saya reda dan maafkan – Ebit Lew 

Bagaimanapun Abd Jalil tidak memperincikan maklumat lanjut tentang mangsa yang sudah dirakam keterangan.

Tambah beliau, siasatan berhubung perkara itu masih diteruskan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman dan menunggu saksi lain tampil ke hadapan membantu siasatan kes.

“Belum ada perkembangan terbaharu lagi dalam kes ini, orang ramai ada maklumat boleh tampil,” tegasnya.

Pada 19 Ogos lalu, Ebit telah hadir ke Bukit Aman ditemani peguambelanya, Datuk Hasnal Rezua Merican telah hadir ke Ibu Pejabat Polis itu di Bukit Aman jam 8.59 pagi tadi.

Beliau kemudian dibawa untuk proses merakam percakapannya oleh polis D11 yang disahkan berlangsung selama sejam 30 minit.

Pendakwah yang aktif dengan kerja-kerja kemanusiaan itu kemudian meninggalkan bangunan Ibupejabat Polis Bukit Aman pukul 2.10 petang menaiki kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux bersama peguamnya.

Abd Jalil sebelum itu mengesahkan pendakwah berkenaan itu dipanggil ke Bukit Aman bagi membantu siasatan kes gangguan seksual yang dihadapinya selepas menerima beberapa laporan dari saksi. – MalaysiaGazette