Islamic preacher Ustaz Ebit Lew sexual harassment charged court
Ebit Lew

KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew telah dipanggil semula kali kedua oleh polis dan diambil keterangan berhubung siasatan kes gangguan seksual mengaitkannya.

Ebit dipercayai hadir ke Ibupejabat Polis Bukit Aman di sini semalam bersama isterinya dan memberikan keterangan kali kedua kepada petugas Bahagian D11.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan mengesahkan Ebit telah tampil semula bersama isterinya bagi membantu siasatan.

“Saya boleh sahkan bahawa kita telah memanggil beliau (Ebit) sekali lagi bagi memenuhi keperluan untuk melengkapkan kertas siasatan kes ini,”kata beliau kepada MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Bagaimanapun beliau tidak mengulas lebih lanjut mengenai kehadiran Ebit.

“Saya akan mengeluarkan kenyataan media rasmi nanti (siasatan kes Ebit) katanya.

Sebelum itu, Bukit Aman mengesahkan pihaknya telah membuka satu kertas siasatan ekoran sebuah video dan mesej lucah yang tular dalam aplikasi media sosial mengaitkan seorang pendakwah terkenal.

Pada 19 Ogos lalu, Ebit hadir bersama peguamnya ke Bukit Aman sebelum selesai memberi keterangan kepada D11 dan kediaman beliau di Puncak Alam dekat sini juga telah dikunjungi pasukan polis untuk mengambil barang bukti membantu siasatan.

Jalil kemudian dalam satu kenyataan menyatakan bahawa siasatan akan diteruskan ke atas Ebit sehingga polis berpuas hati dengan siasatan kes.

Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Justeru kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ekoran penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Sebelum ini, Ebit  telah dipanggil untuk merakam keterangan percakapannya di Bukit Aman pada Ogos lalu.

Siasatan membabitkan Ebit dijalankan di bawah tiga seksyen iaitu Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.-MalaysiaGazette