Bukit Aman mengesahkan bahawa Pendakwah terkenal, Ustad Ebit Lew dan isterinya hadirke Bahagian D11 untuk memberi keterangan bantu siasatan kes dakwaan gangguan seksual yang dihadapinya . Foto MOHD ADZLAN, 19 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan telah memanggil semula pendakwah terkenal, Ebit Lew dan isterinya ke ibu pejabat di Bukit Aman di sini semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew dan isterinya hadir ke Bukit Aman untuk membantu siasatan.

“Kedua-dua mereka dipanggil semula ke Bukit Aman (D11) semalam dan selesai memberi keterangan membantu siasatan kes,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Sehubungan itu,  Abd Jalil menasihatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan apa-apa jua bahan di mana-mana platform bagi mengelak sebarang spekulasi sehingga menjejaskan siasatan polis.

Terdahulu, Ebit difahamkan hadir ke Bukit Aman kali kedua dan memberi keterangan bersama isterinya dalam kes dakwaan gangguan seksual yang membabitkannya.

Sebelum itu, Bukit Aman mengesahkan pihaknya telah membuka satu kertas siasatan ekoran sebuah video dan mesej lucah yang tular dalam aplikasi media sosial mengaitkan seorang pendakwah terkenal.

Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ekoran penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Siasatan membabitkan Ebit dijalankan di bawah tiga seksyen iaitu Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 19 Ogos lalu, Ebit ditemani peguamnya datang ke Bukit Aman jam 9 pagi untuk dirakam keterangan kepada pasukan D11 Bukit Aman.

Dua jam kemudian rumahnya di Puncak Alam di Shah Alam telah dikunjungi pasukan D11 Bukit Aman untuk mendapatkan barang bukti bagi membantu siasatan.

Abd Jalil memaklumkan siasatan ke atas Ebit akan diteruskan sehingga pihaknya berpuas hati.- MalaysiaGazette