Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Puan Sri Rohani Parkash (kanan) dan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin (kiri) bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyampaikan dermasiswa kepada pelajar UPSI, Mohamad Nazmi Mohd Najid di Parit Sulong, Johor.

KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyeru pihak korporat untuk bersama-sama menjayakan Tabung UPSI Prihatin, selain menggerakkan Pusat Wakaf Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) bagi membantu pelajar yang mempunyai masalah kewangan atau yang ditimpa musibah.

WEZAS ditubuhkan bagi tujuan menggerak dan memperkasakan aktiviti kutipan sumbangan menerusi dana wakaf, endowmen, zakat, khairat dan sedekah, dari pelbagai pihak yang berpotensi melibatkan warga UPSI, Alumni UPSI, badan-badan korporat, agensi-agensi swasta dan masyarakat amnya.

Pengarah WEZAS, Prof. Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Abd. Latif berkata, sejak ditubuhkan pada 1 Ogos 2020, WEZAS memberi manfaat kepada 9, 159 pelajar dengan agihan bantuan sebanyak RM3.1 juta.

Menerusi lima bentuk penjanaan tersebut, pelbagai inisiatif dan skim berasaskan kebajikan dirancang dan ditawarkan bagi manfaat seluruh warga UPSI.

Antara inisiatif bantuan yang diberikan termasuklah derma siswa, sara hidup, yuran pengajian, bantuan khas covid-19, bantuan lap top, pemberian data internet serta khairat kematian.

“Saya berpendapat penubuhan WEZAS relevan dengan permasalahan semasa, terutamanya apabila kalangan ibu bapa pelajar terkesan oleh krisis Covid-19 sehinggakan ada yang dibuang kerja,” ujarnya.

Setiap tahun, katanya, universiti pasti berdepan dengan kewujudan pelajar yang mengalami masalah kewangan terutamanya dari kalangan B40 dan asnaf.

WEZAS juga menaja yuran pengajian seramai 30 pelajar yang kematian ibu, bapa dan penjaga kesan jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, mana-mana korporat yang berhasrat menyumbangkan zakat mereka kepada WEZAS UPSI boleh menghubungi talian 05- 4506994. – MalaysiaGazette