Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Pulau Pinang membenarkan warga asing yang sudah lengkap dua dos vaksin menunaikan solat fardu dan solat Jumaat di masjid dan surau negeri itu bermula esok.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Mohd Zakuan Zakaria berkata, bagi rakyat tempatan pula, mereka yang sudah mendapat 1 dos vaksin dibenarkan solat di masjid dan surau mengikut prosedur operasi standard (SOP) terdahulu.

Bagaimanapun, beliau berkata, kadar bilangan jemaah pula masih kekal iaitu mengikut keluasan masjid dan surau di kawasan masing-masing.

“Had umur jemaah yang dibenarkan berusia lingkungan 12 hingga 70 tahun namun bagi mereka berusia 71 ke atas dan sihat, mereka tidak digalakkan hadir tetapi dibenarkan bersolat di masjid dan surau,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah beliau, kuliah subuh dibenarkan setakat 45 minit selepas solat dengan kedukan jemaah yang kekal di sejadah masing-masing.

“Imam dan khatib jemputan masih tidak dibenarkan memimpin solat atau menyampaikan khutbah Jumaat.

“Pihak masjid dan surau disaran membentuk jawatan kuasa pemantau bagi memastikan SOP ini dipatuhi,” kata Mohd Zakuan. – MalaysiaGazette