Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri Melaka, Adly Zahari.

AYER KEROH – Pakatan Harapan (PH) Melaka akan mempercepatkan proses perundangan bagi memastikan keabsahan kerajaan sementara (caretaker goverment) berikutan tindakan terburu-buru pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Pengerusi PH negeri, Adly Zahari berkata, PH Melaka akan meneliti segala bentuk proses perundangan dan maklumat yang ada sebelum membawa perkara tersebut ke muka pengadilan  

Menurut beliau, ketua menteri yang tidak lagi mempunyai kepercayaan majoriti tidak wajar menasihati Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam untuk membubarkan DUN Melaka Ke-14 khususnya dalam situasi pandemik Covid-19.

“Pilihan Raya Negeri Sarawak telah ditangguhkan atas alasan yang sama. Ini jelas mempamerkan sikap ketidak bertanggungjawaban ketua menteri.

“TYT juga sewajarnya tidak bertindak terburu-buru membubarkan DUN sebelum mendengar pandangan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan empat ADUN yang tidak lagi bersama kerajaan,” katanya menerusi sidang media khas di Graha Amanah, Bukit Katil di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Adly berkata, pengumuman Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk kerajaan sedia ada sebagai ‘caretaker government’ juga agak mengelirukan.

Kata Adly, PH Melaka berpandangan adalah tidak wajar untuk seorang yang telah hilang kepercayaan dibenarkan menjadi ketua menteri kerajaan sementara’ dengan mengambil kira apa yang telah berlaku pada 2 Mac tahun lalu sebagai ‘precedent case’ (kes terdahulu)

“Apabila saya hilang kepercayaan sebagai Ketua Menteri Melaka, tugas pentadbiran kerajaan negeri dipertanggungjawabkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga Ketua Menteri baharu dilantik.

“Kami berpandangan apa yang berlaku mempamerkan bahawa ‘norma-norma biasa’ tidak dilaksanakan oleh pentadbiran tertinggi negeri dalam menangani krisis politik kali ini.

“PH Melaka kekal berpegang kepada prinsip bahawa kestabilan politik merupakan perkara asas untuk berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan usaha ke arah pemulihan ekonomi negara.

“Keutamaan PH adalah untuk memastikan kestabilan politik bagi memastikan pentadbiran yang cekap, bertanggungjawab dan telus dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Semalam, media melaporkan PH Melaka menyatakan tidak wajar bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dibenarkan menjadi Ketua Menteri sementara ‘caretaker government’.

Adly berkata, perkara itu akan dirujuk kepada mahkamah bagi memastikan keabsahan ‘caretaker government’ selepas diumumkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. – MalaysiaGazette