Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan tidak yakin Sabah akan dapat mencapai kadar vaksinasi 80 peratus pada bulan ini memandangkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri itu kini tidak lagi didatangi ramai penduduk.

Bagaimanapun, Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah mengarahkan supaya program vaksinasi outreach di negeri tersebut dipertingkatkan.

“Semua negeri diunjurkan sampai ke 80 peratus vaksinasi pada Oktober hanya satu negeri sahaja kita unjur sedikit masalah capai itu iaitu Sabah.

“Saya telah berhubung dengan Pengarah Kesihatan Negeri untuk pertingkatkan lagi kempen gerak vaksin sebab saya dapati di Sabah sudah tidak ramai yang datang ke PPV.

“Sebab itu di Sabah kita kena usahakan dengan sumber yang ada mesti digunakan utk menggalakkan program kempen gerak vaksin. Itulah cara memastikan Sabah capai ambang 80 peratus,” katanya ketika sidang media yang diadakan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Kata Khairy lagi, bagi negeri-negeri yang lain beliau yakin 80 peratus kadar vaksinasi akan dapat dicapai bulan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini berkata, beliau yakin tempoh untuk membenarkan rentas negeri sudah semakin hampir dan akan terus diumumkan sebaik negara mencapai 90 peratus vaksinasi.- MalaysiaGazette