Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang berharap kerajaan persekutuan melaksanakan kerja pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas, di sini, secepat mungkin.

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, kerajaan pusat harus membenarkan kerja pembesaran itu dijalankan memandangkan ramai pelancong akan mengunjungi Pulau Pinang ketika pasca pandemik Covid-19

Jelas beliau, kerja pembesaran itu adalah sebahagian daripada pelan bagi memajukan dan memulihkan industri pelancongan yang menjadi antara sumber pendapatan utama negara.

“Kita mesti bersiap sedia untuk mengalu-alukan kedatangan pelancong apabila aktiviti merentas negeri dibenarkan semula.

“Buat masa ini, pelancong yang datang ke  Pulau Pinang berkurangan disebabkan pintu sempadan belum dibuka dan rakyat masih tidak dibenarkan merentas negeri, maka ia adalah masa yang sesuai bagi kerajaan pusat memulakan kerja pembesaran itu,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tong Keong berkata, LTAPP adalah antara pintu masuk utama negara dan Pulau Pinang selain menjadi hab pengangkutan yang penting di negeri ini.

“Maka kerja pembesaran LTAPP harus disegerakan dan harus diingat bahawa kebanyakan negara sedang membuat persiapan bagi memulihkan industri pelancongan mereka.

Semalam, Menteri Pengangkutan dalam Sesi Ucapan Penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat mengumumkan penangguhan projek pembesaran LTAPP.

Susulan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow meminta Kerajaan pusat menilai semula keputusan tersebut.

Kon Yeow berkata, mengambil kira situasi Covid-19 pada ketika ini, kerja-kerja naik taraf serta pembesaran LTAPP boleh dilaksanakan kini tanpa sebarang kesesakan penumpang. – MalaysiaGazette