Pemandu lori tiada lesen antara kesalahan paling banyak dikesan Operasi Khas Kenderaan Perdagangan oleh JPJ Pulau Pinang.

NIBONG TEBAL – Masih ramai pemilik syarikat Kenderaan Perkhidmatan Barangan (KPB) menggajikan pemandu tanpa lesen walaupun tahu ia merisikokan pengguna jalan raya.

Ia terbukti apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan 136 notis saman dan kesalahan tiada lesen antara tertinggi menerusi Operasi Khas Kenderaan Perdagangan yang dijalankan selama empat hari bermula Isnin lalu.

Operasi berkenaan memfokuskan lori membawa tong sampah Roll On Roll Off (roro), kenderaan membawa mesin serta trak penunda.

Pengarahnya, Adenan Md Isa berkata, sebanyak 358 kenderaan diperiksa dalam tempoh empat hari itu dan 136 saman bernilai RM40,800 dikeluarkan kepada pemandu lori dan pemilik syarikat atas pelbagai kesalahan.

Kata beliau, antara kesalahan ketara ialah pemandu lori ini tidak mempunyai lesen memandu dan tiada lesen kenderaan perdagangan (GDL) selain tiada cukai jalan dikenal pasti menerusi operasi tersebut.

Jelas Adenan, daripada jumlah keseluruhan saman, sebanyak 35 pemandu disaman kerana tiada lesen memandu manakala 29 dikenakan tindakan sama kerana tiada lesen GDL.

“Hasil siasatan mendapati pemandu lori tersebut belajar sendiri cara mengendalikan kenderaan berat itu dan ini sekali gus boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Kenderaan jenis ini kurang diperiksa oleh agensi penguat kuasa menyebabkan syarikat lori berani menggajikan pemandu yang tiada lesen,” katanya kepada media selepas memeriksa kenderaan yang ditahan di Stesen Penguatkuasa Valdor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Adenan berkata, pihaknya turut mengesan tindakan pemandu lori membawa muatan lebih selain juntaian belakang terlalu panjang.

Pegawai JPJ memeriksa lori sampah jenis roro.

“Pemilik lori ubah suai kenderaan mereka menyebabkan juntaian terlalu panjang sekali gus menyukarkan pergerakan di jalan berbukit serta membahayakan kenderaan lain.

“Selain itu, kita juga dapati lori sampah jenis roro membawa muatan pasir sedangkan mereka tidak boleh membawa muatan selain bahan buangan,” kata beliau. – MalaysiaGazette