Dua papan tanda memberi impak kepada kadar penurunan kes kecurian pokok bunga di daerah Kuantan.

KUANTAN – Jika sebelum ini Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menaikkan papan tanda peringatan berbunyi `Amaran anda sedang diperhatikan CCTV’, tapi kini papan tanda ‘Jangan curi, please sudah 3x tukar’ dipasang.

Langkah ini sebagai usaha berterusan memberi peringatan kepada orang ramai di daerah ini supaya tidah mencuri pokok hiasan yang diletakkan di jalan raya.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK,  Norkamawati Kamal berkata, papan tanda pesanan tersebut ternyata memberi impak positif apabila kes kecurian semakin berkurangan berbanding dahulu.

Katanya, pemasangan kamera litar tertutup itu dapat mengesan individu yang berani mencuri pokok yang ditanam di kawasan sekitar Taman Tas, Jalan Bypas dan di sekitar Jalan Wong Ah Jang

“Bagi mengesan perbuatan tidak bertanggungjawab ini, sebanyak 10 kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi bagi memudahkan pemantauan.

“Kemudian bagi mengelak kejadian kecurian pokok bunga terus berulang, papan tanda peringatan ini dipasang MBK

“Menurut Bahagian Landskap MBK, tiada lagi kes kecurian pokok lagi jika dibandingkan dahulu sehingga MBK menanggung kerugian ribuan ringgit,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette

Tambah Norkamawti, pihaknya berusaha menerapkan mentaliti kelas pertama dalam kalangan warga Kuantan supaya mampu memajukan bandar raya ini dan mencapai agenda transformasi yang diusahakan.

Sebelum ini, MalaysiaGazette pernah melaporkan sebanyak 150 pokok hiasan spesis ‘ixora sunkist’ bernilai RM2,500 dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. – MalaysiaGazette