Natxo Insa. Foto Facebook Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR – Bekas pemain tengah skuad kebangsaan, Natxo Insa terus beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) musim depan apabila menandatangani kontrak lanjutan.

Perkara ini dikongsikan oleh pemain berdarah campuran itu di laman media sosial rasmi Instagram miliknya di mana pemain itu menjadi pemain kedua yang menandatangani kontrak lanjutan selepas Shane Lowry.

“Bangga dan gembira untuk menjadi sebahagian daripada kelab ini. Satu lagi musim bersama Johor Darul Ta’zim.

“Terima kasih kepada pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana memberi kepercayaan dan peluang kepada saya untuk terus menjadi sebahagian daripada keluarga JDT,”  tulisnya.

Biarpun telah menginjak usia 35 tahun tempat Natxo dalam kesebelasan utama JDT sukar untuk dicabar mana-mana pemain meskipun juara Liga Super 2021 itu mempunyai pemain tengah yang jauh lebih muda.

Skuad Harimau Selatan mempunyai pemain tengah lain yang berkaliber lain seperti Syamer Kutty Abba, Afiq Fazail, Gary Steven Robat, Nazmi Faiz dan Daniel Amier yang mana pemain ini juga pernah beraksi bersama pasukan kebangsaan.

Namun kualiti serta kemampuan yang dimiliki oleh bekas pemain Valencia dan Levante itu masih menjadi pilihan pengurus pasukan, Benjamin Mora untuk membarisi kesebelasan utama.

Natxo mula beraksi bersama JDT sejak Jun 2017 dan beliau telah membantu pasukan itu memenangi lima gelaran Liga Super, dua Piala Malaysia dan lima Piala Sumbangsih.

Dia turut membuat satu penampilan bersama pasukan kebangsaan iaitu pada aksi persahabatan menentang Mongolia di mana aksi tersebut ialah aksi pertama ketika Tan Cheng Hoe dilantik sebagai ketua jurulatih. – MalaysiaGazette