Salehin (tengah) menunjukkan hasil rampasan rokok seludup hasil serbuan di rumah banglo di dalam kebun Kampung Teratai, Bukit Serampang, Tangkak.

TANGKAK- Cawangan Risik Briged Tengah Polis Gerakan Am (PGA) Cheras dan Batalion 6 PGA Muar mematahkan cubaan menyeludup rokok apabila merampas 163,200 kotak rokok yang disyaki tidak bercukai di sebuah banglo, semalam

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 6, Deputi Superintendan Salehin Suleiman berkata, aktiviti itu disyaki telah dijalankan sejak tiga bulan lalu.

“Kejadian pukul 3.30 petang membabitkan sekumpulan pegawai dan anggota PGA melakukan serbuan di sebuah rumah di kawasan kebun yang terletak di Kampung Teratai, Bukit Serampang

“Melalui serbuan itu, kami berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang berada dalam kediaman berkenaan selain menemui 13,600 karton rokok dan sebuah lori tiga tan serta dua buah van,”katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, di sini, hari.

Keseluruhan nilai rampasan ini dianggarkan berjumlah RM3.4juta.

Katanya, hasil soal siasat suspek yang berperanan sebagai orang tengah dan penghantar barang mengakui baru sahaja berpindah ke banglo itu yang dijadikan pusat simpanan sementara bagi rokok seludup.

“Hasil siasatan kami, suspek telah aktif sebagai orang tengah sekitar dua ke tiga bulan lalu mengakui menjadikan lokasi dalam kebun untuk menyimpan bekalan rokok seludup kemudian akan mencari lokasi kebun yang berbeza,” tambahnya.

Suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah kini direman 14 hari bermula Selasa lalu di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

Saki baki suspek termasuk pemilik banglo juga kini giat dikesan bagi membantu siasatan terutama usaha menjejaki dalang sindiket itu. – MalaysiaGazette