KUALA LUMPUR – Kemelut politik Melaka dilihat sebagai jelmaan pertarungan antara Hang Tuah dan Hang Jebat dalam kisah klasik Melayu lama.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Muhammad Tawfiq Yaakob berpandangan, pertarungan adik beradik itu telah membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari.

“Kisah lama dijelmakan kembali. Kemelut yang berkocak dan menjadi hikmah buat kita.

“Kita lihat, apa yang berlaku adalah antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dengan pucuk pimpinan negeri itu sendiri.

“Walaupun itu yang menjadi punca serta ada faktor-faktor yang lain, ia memperlihatkan demokrasi politik akan berlaku di Melaka,” katanya ketika menjadi panel program SKOP MG bertajuk ‘Kerana Nila Setitik’ bersama Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Khaidiriah Abu Zahar malam tadi.

Beliau berkata, politik Melaka dilihat sangat dinamik kerana bilangan kerusi yang sangat tipis di antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“Ia akan menjadi ujian buat semua parti sama ada memikirkan untuk menjaga kebajikan rakyat atau kepentingan sendiri.

“PRN Melaka yang akan diadakan juga merupakan langkah baik kepada siri pilihan raya yang lain.

“PRN Melaka akan menjadi simulator kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pilihan raya kecil dan juga PRN untuk Sarawak,” tambahnya.

Dengan jumlah anggaran penduduk Melaka kira-kira 500,000 orang, PRN akan memperlihatkan kesemua parti tiidak ada pegangan majoriti.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan kaedah mengundi dalam tempoh Covid-19.

“Kita akan melihat program vaksinasi yang kini hampir mencapai 90 peratus dan mungkin untuk sampai kepada tempoh 60 hari PRN, Melaka selesai semua telah divaksin,” katanya.

Beliau berkata, jika PRN Melaka ditangguh, sudah pasti semua pihak tidak dapat mengetahui cara-cara mengendalikan pilihan raya dalam tempoh Covid-19.

“Kita pun akan beralih daripada pandemik kepada endamik dan akan hidup bersama-sama Covid-19 ini.

“Kita harus menjalankan kehidupan kita dan pilihan raya tidak boleh ditangguh lagi,” ujarnya.

Mengikut Perlembagaan, PRN perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.

Pada awal minggu ini, empat ADUN Melaka, menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Susulan itu, Sulaiman telah menasihatkan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam untuk membubarkan DUN. – MalaysiaGazette