Kawasan riadah di Taman Eko Rimba Chongkak Park Resort, Hulu Langat. Foto ihsan Tourism Selangor

KUALA LUMPUR – Taman Eko Rimba Chongkak Park Resort, Hulu Langat dibuka semula kepada umum mulai esok dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menerusi kenyataan Tourism Selangor memaklumkan, Taman Eko Rimba Kanching juga turut kembali beroperasi sejak 4 Oktober lalu.

Katanya, waktu operasi bagi kawasan riadah itu bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang setiap hari dengan had 500 orang pengunjung pada satu-satu masa.

“Aktiviti perkhemahan dibenarkan dengan ruangan jarak dua meter antara khemah yang lain tetapi pengunjung tidak dibenarkan bermalam,” ujarnya.

Agensi itu turut mengingatkan pengunjung mengutamakan keselamatan diri ketika beriadah selain mematuhi SOP seperti perlu melalui proses imbasan suhu wajib (harus kurang daripada 37.5 Celcius), mendaftar masuk dengan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), memastikan jarak sosial satu meter dan wajib memakai pelitup muka.

Selain itu, pengunjung juga wajib menunjukkan sijil vaksinasi Covid-19, memastikan jarak antara kumpulan dalam satu hingga tiga meter serta memastikan jarak lokasi aktiviti dengan aktiviti lain tiga hingga lima meter.

Kerajaan membenarkan pembukaan semula taman tema dan taman tema air kepada umum selepas Selangor memasuki Fasa 3, Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 1 Oktober lalu. – MalaysiaGazette