Seramai 40 PATI yang tidak memilki sebarang dokumen sah telah berjaya dikepung dan dicekup Jabatan Imigresen Kuala Lumpur dalam serbuan mengejut di tapak binaan di Jalan Dutamas berhampiran Pejabat Imigresen KL lewat malam tadi-.Ihsan JIM KL.

KUALA LUMPUR – Sangkaan majikan pihak berkuasa mungkin terlepas pandang pihaknya mengupah pendatang tanpa izin (PATI) di tapak pembinaan berhampiran pejabat Jabatan Imigresen Kuala Lumpur.

Namun malam tadi lokasi berkenaan diserbu dan sebahagian besar daripada 40 PATI ditahan ketika mereka cuba melarikan diri di Jalan Dutamas.

Ada antaranya telah mengalami kecederaan semasa cuba melarikan diri namun gagal apabila berjaya dikepung dan diberkas oleh Jabatan Imigresen.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, serbuan itu  bermula 11.40 malam dan hasil pemeriksaan didapati seorang warga asing telah tercedera semasa cuba melarikan diri.

“Kita telah bertindak pantas segera mengepung kawasan binaan itu dan dalam serbuan itu seramai 82 pekerja warga asing telah diperiksa di tapak binaan itu dalam operasi tersebut manakala 40 daripada mereka ditahan selepas pemeriksaan lanjut mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya di lokasi semalam.

Tambah Syamsul Badrin,  kesemua PATI yang ditahan itu terdiri daripada 32 lelaki Bangladesh, tujuh lelaki Indonesia dan seorang lelaki warga Pakistan berusia antara 25 hingga 60 tahun yang bekerja di tapak pembinaan tersebut.

Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati tapak terbabit dipercayai beroperasi sejak akhir tahun lalu.

“Mungkin majikan ingat kami tidak akan membuat operasi kerana kedudukan lokasi tapak pembinaan yang terlalu dekat dengan pejabat Imigresen tetapi tanggapan mereka sebenarnya salah kerana kami tanpa kompromi akan sentiasa buat pemantuan dan risikan ke atas segala tempat membabitkan PATI,” ujarnya.

Dalam pada itu, terdahulu pasukan Imigresen sama turut menggempur sebuah pusat hiburan di Jalan Bubut di sini sebelum menahan 12 orang PATI sekitar pukul 7.10 malam tadi.

Katanya, kesemua PATI yang ditahan itu merupakan individu yang berusia antara 20 hingga 35 tahun terdiri daripada dua wanita warga Myanmar, dua wanita Thailand, enam wanita Vietnam dan dua lelaki warga Bangladesh.

Dalam perkembangan berkaitan PATI, Syamsul Badrin menggesa agar pihak majikan memastikan setiap pekerja mereka yang digaji supaya mempunyai dokumen perjalanan yang sah mengelak tindakan tegas tanpa kompromi.

“Kesemua PATI dalam kedua-dua serbuan itu kini ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemua mereka telah dibawa ke Depoh Imigresen di Bukit Jalil untuk siasatan lanjut,” katanya.- MalaysiaGazette