Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan tiga syor menerusi Jawatankuasa Dewan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Parlimen Ke-14 atas semangat dwipartisan.

Syor yang diluluskan itu adalah pemakaian baju batik Malaysia berlengan panjang oleh ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat setiap hari Khamis, komposisi ahli untuk semua Jawatankuasa Pilihan Khas yang ditambah dari tujuh ahli kepada sembilan ahli dan penubuhan jawatankuasa pilihan khas baharu iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa.

Ketika mengemukakan syor itu satu persatu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ahi-ahli Parlimen perlu memakai baju batik ketika menghadiri sidang Dewan Rakyat pada setiap hari Khamis.

“Ini adalah cadangan daripada Yang Berhormat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk mendukung warisan negara.

“Pemakaian baju batik ini bukanlah mandatori dan adalah secara sukarela,” katanya.

Syor itu dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 86(5) Peraturan-Peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Rakyat hasil Mesyuarat Jawatankuasa Dewan Bil.2, Bil. 3 dan Bil. 4 tahun 2021.

Mengenai komposisi ahli untuk semua Jawatankuasa Pilihan Khas yang ditambah dari tujuh ahli kepada sembilan ahli Wan Junaidi berkata, pertambahan itu adalah selaras dengan Peraturan 82(1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat

Katanya, ia membabitkan lima ahli Parlimen kerajaan dan empat ahli Parlimen pembangkang.

Bagi syor mengenai penubuhan jawatankuasa pilihan khas baharu iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa pula katanya, jawatankuasa itu adalah penambahan daripada sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas yang telah ditubuhkan. – MalaysiaGazette