Lakaran artis projek Prestige Residence.

KUALA LUMPUR – LBS Bina Group Berhad (LBS) memperkenalkan projek Prestige Residence, sebuah pangsapuri servis merangkumi 1,450 unit yang dibina di atas tanah seluas lapan ekar di Seri Kembangan, Selangor dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM301 juta.

Prestige Residence terdiri daripada tiga jenis susun atur, dengan ukuran binaan bermula daripada 600 kaki persegi (kps) sehingga 850 kps dan harga permulaan yang berpatutan iaitu RM270,000.

Dilengkapi dengan 40 kemudahan dan rumah kelab dua tingkat yang eksklusif, bakal pemilik residensi ini mempunyai pelbagai pilihan aktiviti untuk memupuk sesi ikatan keluarga, di samping mempromosikan semangat muafakat dalam masyarakat.

Kediaman ini juga menyediakan akses mudah ke lebuh raya utama dan pelbagai kemudahan awam utama, seperti hab komersial, institusi kewangan, lapangan terbang antarabangsa, penyedia perkhidmatan kesihatan, dan banyak lagi kemudahan lain.

”Saya sentiasa mempercayai bahawa generasi masa hadapan patut memulakan langkah pertama mereka dengan membeli rumah yang mampu dimiliki dan berkualiti. Selain itu, lokasi yang strategik juga penting kerana ianya membuka peluang pekerjaan dan pendidikan kepada pemilik kediaman.

”Perkara terakhir yang menjadi asas kepada pembinaan projek LBS adalah komuniti, di mana ianya amat penting bagi pembeli baik untuk dijadikan sebagai tempat tinggal ataupun untuk tujuan pelaburan pada masa hadapan.

”Prestige Residence adalah lambang penyatuan ketiga-tiga asas yang menjadi pegangan LBS. Saya yakin bahawa Prestige Residence berupaya menterjemahkan kemampuan LBS di dalam memberikan peluang bagi pembeli rumah pertama untuk mendapatkan kediaman mereka dengan harga yang menarik dan kualiti binaan yang baik” jelas Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San. – MalaysiaGazette